BAGI meraikan perjalanan seni dua dekad sejak kemenangan bersejarahnya dalam program Malaysian Idol, penyanyi vokal memukau, Jaclyn Victor tampil dengan hadiah istimewa buat peminat kesayangannya berupa pelancaran album terbaharu, Glorious.
Album edaran Sony Music Malaysia itu dirakam dan diterbitkan sepenuhnya di Amerika Syarikat dengan kerjasama penulis serta penerbit Malaysia yang berpangkalan di New York.
Menampilkan sembilan buah trek yang terdiri daripada tujuh lagu berbahasa Melayu dan dua dalam bahasa Inggeris, Glorious membawa sisi baharu Jaclyn sebagai seorang penyanyi dengan sentuhan muzik yang lebih segar.
Perjalanan emosi
Menurut Jaclyn atau lebih mesra disapa sebagai Jac, Glorious menawarkan kepelbagaian muzik. Antaranya daripada karya rock bertenaga tinggi seperti Inilah Saatnya, pop kontemporari menerusi Lepaskan Saja, hinggalah kepada balada penuh emosi dalam lagu Sesal Tak Bermakna dan Airmataku.
"Dengan susunan lagu bervariasi, album ini membawa pendengar dalam sebuah perjalanan emosi yang bakal menyentuh hati peminat lama serta menarik perhatian generasi baharu," ujarnya.
Menariknya, lagu utama album ini iaitu Glorious, merupakan versi Inggeris kepada lagu ikonik nyanyian Jac, Gemilang, yang selama ini menjadi simbol kejayaan buatnya.
Dengan mengambil inspirasi daripada lagu-lagu terkenal, susunan baharu lagu ini menampilkan elemen moden yang digabungkan dengan kehebatan vokal juara All Stars Gegar Vaganza ini dan dalam masa sama masih mengekalkan semangat asal Gemilang.
Kisah hidup
Bagi memastikan lagu-lagu dalam album tersebut benar-benar mencerminkan perjalanan seni dan kisah hidup Jac, para komposer dan penulis lirik telah mengambil masa berbulan-bulan lamanya memahami kisah jatuh bangunnya sebagai seorang wanita dalam industri muzik.
"Glorious bukan sekadar album, tetapi sebuah koleksi lagu yang mengangkat tema cinta yang hilang dan ditemui kembali, kepercayaan terhadap diri sendiri, serta ketabahan dalam menghadapi cabaran," katanya lagi.
Album Glorious kini boleh didengari di kesemua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments