Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Perang rating final GV11 VS OIAM; RTM apa khabar?



[Nota Kedai Kopi Bandara]

SATU ketika dahulu Big Stage 2022 terbitan Astro mempertaruhkan tema 'This Is Siti Nurhaliza' serentak dengan pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-36.

Ternyata populariti Biduanita Negara Datuk Sri Siti Nurhaliza sekali lagi digunakan pakai TV3 untuk mengunci monopoli final Gegar Vaganza ke-11 (GV11) pada 9 Februari ini.

Tambahan pula barisan artis undangan GV11 bukan biasa-biasa juga. Kehadiran Kris Dayanti, Pasha Ungu, Taufik Batisah, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor dan kumpulan Dolla adalah 'pemancing' selain barisan finalisnya.

Pasti GV11 menjanjikan persembahan gegak gempita setanding usia sebelas tahun penganjurannya itu.

Justeru seperti biasa mana mungkin final Calpis Soda One In A Million (OIAM) harus sendu dan suram bukan? Ia perlu lebih gemilang, terbilang dengan juga barisan penyanyi bertaraf A-List.

Saya sudah menjangkakan Siti Nurhaliza akan ada. Tidak sangka pula kehadiran pasangan Siti menerusi muzik video, Debaran Cinta, si Rangga atau Nicholas Saputra pun ada. ‘Kisah cinta’ 23 tahun lalu kembali mengamit nostalgia.

Satu strategi terbaik TV3. Turut memeriahkan suasana bila Ratu Rock Ella dan Faizal Tahir pun ada.

Pasti percaturan kedua stesen terbaik Malaysia ini mampu membuatkan para penonton memasang dua peranti untuk menyaksikan siapa paling hebat dan wow. Perang rating siapa akan viral dan trending?

Persaingan sihat sebegini sesuatu yang baik untuk industri seni tanah air. Kita mengharapkan apa juga perjalanan akhir kedua-dua program ini memberi impak mencanak juga kepada para finalis.

Mereka patut lebih ditonjolkan berbanding artis undangan. Itu malam mereka. Sewajarnya tumpuan lebih kepada finalis.

Ada dua hal menarik untuk diperkatakan tentang perang rating ini. Pertamanya nama Siti Nurhaliza amat berpengaruh untuk menaikkan rating.

Jenama Siti Nurhaliza tetap relevan walau di mana stesen tv sekalipun. Aura Bintang Paling Popular Berita  Harian 1996, 1997, 1998, 1999, 2000, 2001, 2004 dan 2009 itu sentiasa diperlukan. Fakta dan sejarah.

Keduanya, saya juga mengharapkan RTM juga ada dalam persaingan sebegini. Bintang RTM yang gah satu ketika dahulu kini sudah hilang bisa dan taring.

RTM perlu bangkit dengan Bintang RTM atau program lain yang lebih mampu menggugat. Selaku peneraju awal atau ‘abang long’, RTM tidak boleh lagi sekadar berada terbelakang berbanding Astro dan TV3.

‘Branding’ kan program Bintang RTM dengan lebih komersil. Jenama Bintang RTM ada prestij tersendiri yang tidak wajar diketepikan.

RTM ada Ketua Pengarah Penyiaran yang kreatif dan berjiwa segar. Datuk Suhaimi Sulaiman apa tunggu lagi?  - 7KLIK

~  Nota by Jebat Iskandar ~

(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments