Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Penyanyi Killing Me Softly With His Song, Roberta Flack meninggal dunia



PENYANYI legenda bersuara emas dan juga pemain piano klasikal, Roberta Flack meninggal dunia pada pagi Isnin.

Flack yang cukup dikenali menerusi lagu The First Time Ever I Saw Your Face dan Killing Me Softly With His Song  itu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya pada usia 88 tahun.

Berita duka tersebut disahkan wakil keluarga mendiang dalam satu kenyataan kepada media.

“Kami amat berdukacita Roberta Flack meninggal dunia pagi ini. Pemergiannya dalam keadaan tenang dan dikelilingi ahli keluarganya.

"Dia telah meraih pencapaian melepasi sempadan dan rekod. Dia juga seorang pendidik yang berjiwa besar," ujar kenyataan tersebut seperti yang dilaporkan BBC.

Walau bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberi butiran terperinci tentang punca dan lokasi kematian bintang asal North Carolina itu.

Terdahulu pada November 2022, penyanyi soul dan R&B itu didiagnosis menghidap sklerosis lateral amiotrofik (ALS) atau penyakit saraf yang menyebabkan kerosakan pada sel yang mengawal pergerakan otot dalam badan.

Semenjak itu Flack tidak lagi aktif menyanyi dan sebelum diserang strok dan kemudiannya mengumumkan persaraannya dari dunia seni.

Memulakan karier dengan menjalankan khidmat sebagai guru dan bekerja sambilan sebagai penyanyi kelab malam di Washington D.C., Flack kemudiannya menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Atlantic Records dan seterusnya melahirkan album debut, First Take, pada 1969.

Lagu nyanyiannya, The First Time Ever I Saw Your Face dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Grammy pada 1971. Flack memenangi anugerah itu buat kali kedua pada tahun berikutnya, untuk lagu Killing Me Softly With His Song.

Mendiang pernah berkahwin dan kemudian bercerai dengan Stephen Novosel pada 1972 dan memiliki seorang anak lelaki, Bernard Wright yang merupakan seorang penggiat muzik. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments