ADA maksud tersirat untuk keempat finalis belajar dan hadam daripada persembahan pembukaan Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza pada malam kemuncak Caplpis Soda One In A Million (OIAM) baru-baru ini.
Seperti kata Datuk Yusry Abdul Halim kepada Marygrace; tidak ramai penyanyi yang boleh menjiwai dalam irama balada dan rancak dengan baik. Marygrace mempunyai kelebihan ini berbanding tiga finalis lain.
Pun begitu ingin saya tambah di sini, untuk lebih berjaya Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen perlu memberi lunak, merdu dan sedap dalam nyanyian mereka.
Sekali gus memberi intipati kepada maksud tersirat kepada persembahan Siti Nurhaliza itu. Dia menyanyikan tiga rentak muzik iaitu Pop Rock, Balada dan Irama Malaysia.
Inilah realiti sebenar yang setiap finalis perlu ada. Jadi penghibur yang serba boleh. Adalah bonus jika mereka juga mahir menyanyikan pelbagai bahasa dan tentunya menjana kecintaan pada lagu Irama Malaysia.
Saya pasti keempat ‘bintang dalam ciptaan’ TV3 ini akan terus relevan seperti mana Siti Nurhaliza sekarang.
Pentas akhir OIAM kemas dan sempurna dengan susunan persembahan finalis dan artis undangan. Para juri juga tahu tugas mereka dengan sebaiknya.
Yusri, Ziana Zain Cakra Khan berjaya dengan misi penjurian mereka. Tidak lagi skema dan sekadar biasa-biasa. Malah pujian harus dipuji pada juri undangan Faizal Tahir yang cukup kena berada di kerusi juri. Lontaran kritikan beliau tepat dan penuh berilmu.
Sudah pastinya kehadiran Rangga Nicholas Saputra juga diperhatikan. Ternyata pelaburan TV3 membawa si Rangga berbaloi. Kritikannya seumpama barisan puisi yang indah serta mengusik hati seperti sebuah adegan filemnya.
Nicholas Saputra tidak janggal dengan kata-katanya dengan tahu apa yang ingin disampaikan. Ini yang sewajarnya dicontohi. Tenang, damai dan asyik persembahan penjurian si Rangga.
Dalam pada itu, perjalanan Marygrace tidak mudah selepas ini. Sebagai juara, dia perlu membuktikan dirinya sememangnya layak bergelar juara OIAM2024.
Teruslah menjadi ikon dan idola untuk semua. Perbaiki kelemahan yang ada. Terus menjadi terbaik sebaris bintang yang ada. Sementara Kai Deva, Jimi dan Zazzleen juga mempunyai masa depan yang cerah.
Dengan perancangan daripada pengurusan TV3, mereka berempat bakal menjadi ‘anak emas’ dan mencipta fenomena tersendiri pada masa hadapan.
Apatah lagi dengan single terkini itu, ia adalah tiket awal untuk mendekati peminat dan industri. Tahniah, anda semua terbaik antara yang terbaik.
Semoga Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) nanti menjanjikan sesuatu yang lebih wow berbanding OIAM. Dan, saya mengharapkan AJL40 ada diantara empat finalis ini berada di situ. - 7KLIK
~ Nota by Jebat Iskandar ~
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments