BINTANG Rocketfuel Entertainment yang kian bersinar, Nadeera, terus mencipta fenomena selepas persembahan luar biasanya di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung baru-baru ini.
Meskipun bergelar naib juara, pemilik nama sebenar, Farah Nadeera Zaini itu berjaya mencuri perhatian peminat dan pemerhati industri muzik dengan vokal luar biasa dan persembahan penuh emosinya yang meninggalkan impak mendalam.
Selepas AJL39, lagu Bukan Lagi Kita nyanyiannya muncul sebagai lagu paling banyak distrim di Spotify Malaysia, Apple Music Malaysia, YouTube Music Malaysia dan dimuat turun di iTunes Music Malaysia mengatasi semua lagu lagu domestik dan antarabangsa.
Lebih menarik lagi apabila lagu tersebut juga tersenarai antara salah sebuah lagu antara tiga buah lagu artis Malaysia yang pernah mencecah nombor satu di Carta Spotify Malaysia Daily Top Song, selain lagu Hasrat daripada Amir Jahari dan Suasana di Hari Raya oleh Anuar dan Ellina.
Tidak hanya itu, Bukan Lagi Kita yang juga menjadi OST drama popular terkini Curang Tanpa Niat juga menguasai YouTube dengan lebih 5 Juta tontonan untuk muzik video lagu tersebut.
Nadeera mahu bekerja lebih keras hasilkan karya berkualiti | FOTO: Rocketfuel Entertainment |
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Nadeera, 32, sebagai salah seorang artis terlaris di pasaran digital masa kini.
Hargai peminat
Mengulas mengenai kejayaan yang diraih pada pentas AJL39 dan respon luar biasa yang diterimanya, Nadeera meluakn rasa syukur atas sokongan yang diberikan kepadanya.
"Saya sangat sangat bersyukur dengan sokongan yang luar biasa ini. Impian saya untuk berada di pentas AJL sejak dari dahulu lagi akhirnya termakbul dan sewaktu saya berdiri di pentas AJL39, saya hanya mahu menyampaikan lagu dengan sepenuh hati.
"Melihat reaksi positif daripada semua orang adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi saya. Dan ini adalah permulaannya, saya akan terus bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat peminat semua,” ujarnya.
Kejayaan itu membuktikan bahawa bakat dan kerja kerasnya kini diiktiraf oleh peminat yang terus menyokong karya muziknya.
Fenomena ini jarang berlaku bagi seorang artis, dan menjadi inspirasi kepada penyanyi generasi baharu yang ingin menapak dalam industri muzik agar tidak berputus asa dalam mengejar impian masing-masing. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments