SUDAH terang lagi bersuluh, pentas akhir Gegar Vaganza 11 adalah pertarungan sengit di antara Liza Aziz dan Ning Baizura.
Sementara Dygra, Sheila Abdul akan menghimpit di belakang. The Lima tidak mungkin memberi saingan keterlaluan, sekadar biasa-biasa. Zehra Zambri pula tidak berada dalam situasi yang membenarkan dia memberi cabaran.
Pemilihan lagu solo akhir penentu siapa bakal juara. Liza Aziz mempertaruhkan I Surrender, Ning dengan A Moment Like This dan Sheila pula memilih Listen.
Ketiga-tiga lagu tersebut mempunyai nilai tersendiri dalam menyerlahkan vokal si penyanyi. Sementara lagu duet dan battle sekadar pelengkap.
Markah penuh lebih fokus pada persembahan solo. Jika lagu solo kurang mencabar, anda perlu bersedia untuk gagal. Percaturan lagu pada peringkat akhir adalah sesuatu strategi penting untuk menang.
Zehra Zambri yang mempertaruhkan lagu Berpaut Di Dahan Cinta perlu bekerja keras jika ingin berada pada kedudukan tertinggi. Lagu Dayang Ku Intan itu tidak sepatutnya menjadi pilihan solo.
Pun begitu melihat persembahan separuh akhir, ternyata Zehra terlalu mencuba untuk memberikan persembahan seperti minggu terdahulu. Hasilnya dia gagal. Nyatanya apabila kita terlalu yakin atau mencuba teramat, hasilnya tidak begitu membanggakan.
Pentas akhir GV11 mempertaruhkan ramai bintang hebat dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Seperti biasa Astro berbelanja besar untuk GV11, kebetulan pula ia serentak dengan final One In A Million (OIAM) TV3.
Pastinya kedua stesen ini tidak mahu kalah untuk membuktikan program akhir siapa paling trending dan viral. Maka demikianlah ceritanya sebelum AJL39 mengambil giliran.
Mencari terbaik antara terbaik adalah misi dan visi setiap program pertandingan bukan? Soal bagaimana cara untuk menjadikan pentas akhir maha hebat, pecah kepala team produksi mencari idea. Kita tunggu minggu depan apa kejutan kedua program ini.
Namun selain itu, saya lebih tertarik kepada kehadiran Datuk M. Nasir sebagai juri konsert separuh akhir GV11 itu.
Pastinya ramai yang sependapat bahawa M.Nasir terlalu hebat untuk berada di kerusi juri. Komen beliau yang ilmiah, puitis dan penuh metafora seperti karya-karyanya, membuatkan saya rasa ia amat 'menakutkan' para penyanyi.
Beliau selamba dan tidak memperdulikan samada komen tersebut seiring dengan tuntutan program GV yang penuh pelbagai warna skripnya. Itulah figura M.Nasir yang saya rasa pemerhatiannya lebih ke dalam berbanding apa yang kita lihat.
Sememangnya seperti saya katakan sebelum ini hanya Datuk Syafinaz dan Datuk Ramli MS (Tok Ram) yang mampu menyeimbangkan mood GV di sebalik persembahan peserta dan huru hara Nabil sebagai pengacara itu.
Juri bukan sekadar menjuri, ia memberi kita ilmu bagaimana sesebuah persembahan itu menjadi cantik dan wow.
Bak kata Tok Ram, merdu dan sedap itu perlu. Menyanyi bukan menjerit seperti Tarzan. Yang lantang tidak semestinya terbaik.
Ada penyanyi boleh menyanyi sahaja. Apabila di kerusi juri, mereka gagal untuk sehebat mereka ketika menyanyi.
Sewajarnya siapapun yang menjadi juri selepas ini, nilaikan kemampuan anda untuk jadi juri yang terbaik. Kalau tidak, eloklah anda hanya menyanyi atau berlakon dan kerusi juri itu serahkan pada yang selayaknya.
Apapun pentas separuh akhir GV11, pemenangnya adalah M. Nasir. Daripada nyanyian Tiara dan Pawana dengan mood segar sehinggalah cara penjuriannya, M.Nasir berada di kelas tersendiri. X-Factor beliau sukar ditandingi. - 7KLIK
~ Nota by Jebat Iskandar ~
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments