Ain Edruce dan Sherry AlHadad | FOTO: Sony Music Entertainment Malaysia |
MEMERIAHKAN sambutan Aidilfitri kali, dua selebriti popular Ain Edruce dan Sherry Al-Hadad tampil dengan sebuah lagu raya berjudul Balik Kampung… Gosip Raya!.
Karya ciptaan Eugene Lai, Ja’a, Karazey dan Wan Adam Kelly dengan lirik daripada Adam Armin, Adly Kiddy, Eugene Lai, Fatto, Ja’a dan Yusuff Khan itu bukan sekadar lagu Raya ‘biasa-biasa’, tetapi penuh dengan kisah realiti yang pasti mencuit hati.
Ia adalah sebahagian daripada kisah lucu yang boleh dikaitkan, dan penuh drama tentang salah satu tradisi Raya yang paling dikenali dan menyeronokkan, berkongsi cerita dan berbalas gurauan perayaan.
Lagu Balik Kampung… Gosip Raya terbitan Sony Music Entertainment Malaysia itu turut menjalinkan kerjasama dengan AEON untuk muzik video bertemakan 'Seloka Raya - Dari Dulu Hingga Kini'.
Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen, berkata, pihaknya bekerjasama dengan Sony Music Malaysia kerana keupayaan mereka menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari secara kreatif.
"Keunikan Sony dalam menghasilkan muzik yang merentasi generasi selari dengan tema Raya AEON tahun ini iaitu ‘Seloka Raya - Dari Dulu Hingga Kini.’
"Istilah ‘Seloka’ melambangkan penceritaan yang santai dan bersahaja-pertukaran kata yang bijak, puitis, serta lucu dan kehangatan-persis lagu Balik Kampung… Gosip Raya oleh Sherry dan Ain.
"Kerjasama ini mengingatkan kita bahawa walaupun zaman berubah daripada trend, gaya, hingga cara kita menyambut Raya, intipati perayaan tetap sama: berkongsi kegembiraan dan mencipta kenangan bersama insan tersayang," katanya.
| FOTO: Sony Music Entertainment Malaysia |
Selain Ain dan Sherry, video muzik lagu itu turut menampilkan Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta dan bintang hip hop terkenal, Kidd Santhe, memeriahkan suasana.
Dekat di hati semua
Setiap kali musim Raya, satu tradisi yang sentiasa menyatukan kita adalah berkongsi cerita, tawa, dan gurauan mesra. Sama ada di ruang tamu, dapur, atau di meja makan, perbualan ini menjadi sebahagian daripada kemeriahan perayaan.
Kegembiraan sebenar Raya tercipta apabila gurauan ini kekal ringan dan menyeronokkan, dipenuhi dengan kasih sayang, bukan rasa malu kerana perbualan yang paling bermakna ialah yang berlandaskan rasa hormat dan kehangatan kebersamaan.
Inilah inspirasi utama di sebalik tercetusnya Balik Kampung… Gosip Raya, sebuah lagu yang menggabungkan elemen tradisional dengan susunan muzik moden yang segar dan ‘catchy’.
Dengan lirik yang santai serta melodinya yang mudah diingati, Ain dan Sherry berjaya menyampaikan mesej tentang budaya bersembang tatkala sambutan Hari Raya dengan cara yang paling menghiburkan.
Sementara itu, kerjasama di antara Ain dan Sherry dalam Balik Kampung… Gosip Raya terjadi dengan begitu pantas ketika pertemuan pertama lagi bersama syarikat rakaman.
“Sony Music hadir menyatakan hasrat mereka tentang sebuah lagu Raya, pertama kali mendengarnya terus saya katakan ‘yes’.
"Tanpa berfikir panjang, saya pun terus setuju. Begitu juga dengan Ain, dan semuanya siap dalam masa sebulan,” ujar Sherry.
Bagi Ain pula, walaupun sebelum ini dia sering bekerjasama dengan Sherry, tetapi ini merupakan kali pertama berkolaborasi menerusi lagu.
“Ini bukanlah kali pertama kami bergabung, tetapi kali pertama dalam sebuah lagu. Sebelum ini pun kami pernah bekerjasama beberapa kali dalam pelbagai program, dan sudah mengenali di antara satu sama lain, katanya.
Tambah Ain lagi, proses rakaman bukan sahaja mudah, bahkan menyeronokkan buat mereka berdua.
"Bayangkan, kalau di set pun kami sudah ‘havoc’, apatah lagi dalam studio rakaman. Kami berdua bukannya penyanyi profesional, jadi setiap kali selesai rakaman pasti ada sesi gelak ketawa.
"Kadang-kadang sampai susah untuk diteruskan kerana kami ketawa terlampau lama,” kongsi pengacara Melodi itu lagi.
Sherry dan Ain berharap agar lagu raya mereka dapat diterima ramai | FOTO: Sony Music Entertainment Malaysia |
Rakaman lagu ini sendiri penuh dengan keletah Ain dan Sherry yang sememangnya sinonim dengan gaya selamba dan humor mereka.
“Paling lucu, apabila mendengar semula rakaman suara, kami sendiri tidak boleh bezakan ini suara Ain atau saya?"
Lagu Wajib
Menampilkan lagu yang mencerminkan realiti perbualan raya, Ain berharap Balik Kampung… Gosip Raya akan menjadi lagu wajib dalam senarai putar Aidilfitri pada tahun ini.
“Kami mahukan semua yang mendengar lagu ini akan terhibur, dan kalau boleh nyanyikan bersama-sama ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Pastinya akan lebih meriah,” katanya.
Dalam pada itu, Sherry berharap harap agar lagu itu bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai ‘wake-up call’.
"Bukankah lebih baik kalau kita fokus pada menikmati hidangan Raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain? Jadi, kalau tidak mahu menjadi bahan gosip, eloklah dengarkan lagu ini dan ambil iktibar,” ujarnya.
Balik Kampung… Gosip Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments