Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Setiap lagu saya hasilkan bawa elemen baharu" - Amir Hasan

Amir Hasan | FOTO: Sony Music Malaysia

BINTANG hip hop sedang meningkat naik, Amir Hasan, kembali mencuri perhatian penggemar muzik dengan single terbaharunya berjudul Pelangi.

Amir mahu terus komited sebagai seorang penyanyi dan pencipta lagu yang sentiasa menonjolkan sisi kreatifnya dalam mengadun elemen muzik pelbagai.

Menurutnya, single Pelangi yang turut menjadi lagu runut bunyi  (OST) untuk drama bersiri Cikgu Diva di slot Lestary TV3 itu menceritakan tentang kisah cinta remaja yang penuh keindahan dan makna.

“Lagu ini adalah tentang pertemuan pasangan yang mengajar erti cinta. Saya menulisnya berdasarkan pengalaman dan imaginasi, dengan harapan ia dapat menyentuh hati mereka yang mendengarnya.

“Saya mahu setiap lagu yang saya hasilkan membawa elemen baharu. Dengan Pelangi, saya cuba menggambarkan perjalanan emosi yang santai namun bermakna,” ujarnya.

Pelangi merupakan sebuah karya hasil kolaborasi antara Amir dan madebyartin yang bertanggungjawab dalam susunan muzik, serta SHR yang menyempurnakan gubahan liriknya.

Gabungan genre R&B, pop dan rap memberikan single tersebut nuansa segar yang sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.

Mengulas lebih lanjut tentang proses pembikinan single tersebut, Amir berkata, lagu itu telah pun siap sepenuhnya pada awal tahun 2024.

Namun setelah lagu itu menarik minat pihak produksi drama Cikgu Diva yang dibintangi Eyka Farhana dan Fitri Farok itu, Amir serta pasukan kreatifnya mengambil masa selama sebulan untuk melakukan pengubahsuaian terhadap lirik dan melodinya.

“Proses ini amat penting untuk memastikan lagu ini benar-benar serasi dengan tema drama dan relevan untuk audien.

“Saya percaya bahawa lagu ini dapat memperkayakan lagi pengalaman penonton drama tersebut,” jelasnya.

Permulaan baharu

Dalam pada itu, Amir dikenali sebagai seorang artis yang sentiasa bereksperimen dengan pelbagai bunyi dan genre.

Amir sifatkan penghasilan Pelangi sebagai permulaan baharu dalam perjalanan seninya | FOTO: Sony Music Malaysia

Kejayaan single-singlenya terdahulu membuktikan kemampuan Amir dalam menarik perhatian pendengar dengan muzik yang segar dan optimistik. Kini, Pelangi hadir sebagai simbol evolusi kreatif dirinya.

“Setiap karya yang saya hasilkan adalah refleksi perjalanan seni saya. Saya ingin pendengar melihat sendiri perkembangan saya melalui lagu-lagu ini.

“Pelangi adalah tentang membawa sesuatu yang baharu belum pernah saya hasilkan sebelum ini, tetapi masih mengekalkan identiti muzik saya,” tegasnya.

Tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya terhadap pelancaran single itu, Amir menyifatkan single terbitan Sony Music Malaysia dengan kerjasama Alternate Records itu sebagai permulaan baharu buat dirinya pada 2025.

"Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada pendengar untuk menghargai momen-momen indah dalam hidup mereka.

"Saya amat berterima kasih di atas sokongan peminat yang tidak putus-putus. Saya berjanji untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang saya hasilkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bintang berbakat itu turut berkongsi perancangan projek besar pada tahun ini iaitu pelancaran album studio pertamanya.

“Album ini adalah hasil usaha bertahun-tahun lamanya, dan ia mencerminkan pelbagai sisi diri saya sebagai seorang artis. Saya tidak sabar untuk berkongsi karya ini dengan semua,” akhirinya.

Single Pelangi kini tersedia untuk dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan dan sudah pun dilancarkan di semua platform penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments