Sasi The Don | FOTO: Sony Music Malaysia |
MEMPUNYAI misi tersendiri dalam berkongsi karya kepada peminat muzik, Sasi The Don, kembali dengan single terbaharunya, Santhosham daripada album My Perfect Yard yang bakal rilis tidak lama lagi.
Single berentak reggae itu terlihat unik apabila ia digabungkan dengan keindahan muzik Tamil sekali gus menjadikan lagu bukan sahaja memupuk semangat kegembiraan tetapi juga membina jambatan merentasi pengalaman masyarakat sedunia.
Judul Santhosham yang bermaksud 'kegembiraan' dalam bahasa Tamil itu melambangkan kepelbagaian asal-usul kebudayaan Sasi.
Dengan menggabungkan elemen tradisional Malaysia, India dan Caribbean, Sasi bukan sahaja menunjukkan kebolehannya untuk memanfaatkan potensi muzik reggae tetapi juga meluaskan jangkauan genre itu jauh melangkaui asal-usul Jamaica.
Gubahan irama reggae dan melodi Tamil dalam lagu itu juga melambangkan pencapaian yang signifikan dalam perkembangan seni penyanyi berbakat itu.
Bait lirik menarik pada korus yang berbunyi, 'Nan taan Santosham, Nee taan Santosham' (saya adalah kegembiraan, anda adalah kegembiraan) merupakan tema sorotan lagu tersebut, di mana ia menjanjikan pengalaman menghiburkan bagi peminat reggae dan pendengar baharu.
Menyatukan
Menuru Sasi, tiada had atau sempadan untuk menikmati kegembiraan. Malaha semua orang boleh menikmati kebahagiaan dengan mengelilingi diri dengan orang yang bersikap dan berfikian positif.
"Lagu ini adalah jemputan terbuka untuk semua orang untuk menyertai saya dalam perjalanan yang menggembirakan ini. Tema ‘Santhosham’ menyerlahkan kegembiraan sebagai bahasa universal.
“Saya amat menghargai sokongan rakan-rakan yang membantu menghidupkan visi kreatif saya, serta mencipta pengalaman istimewa yang menonjolkan kepentingan kebahagiaan sebagai bahasa universal.
"Lagu ini boleh menyatukan orang, tanpa mengira latar belakang mereka, dan memberi kesan positif kepada individu di seluruh dunia," ujarnya.
Sasi The Don turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas sokongan mereka kepada sektor kreatif Malaysia, sekali gus membantu memupuk bakat dan menggalakkan inovasi dalam kalangan artis tempatan.
| FOTO: Sony Music Malaysia |
Single Santhosham kini tersedia untuk distrim di kesemua platform digital muzik bermula 17 Januari lalu. Muzik videonya pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Sasi The Don.
Dalam perkembangan berkaitan, Sasi juga akan melancarkan album dwibahasa yang dinantikan ramai, My Perfect Yard dengan kerjasama Sony Music Malaysia yang memuatkan tujuh lagu pada Mei depan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments