[Nota Kedai Kopi Bandara]
MALAM Ahad tentunya tidak sempurna kalau tanpa tontonan program Gegar Vaganza 11 (GV11) dan Calpis Soda One In Million (OIAM).
Barangkali ada yang mengatakan kedua-duanya sekadar memeriahkan industri seni dan hanya biasa-biasa sahaja. Namun saya menganggap kedua-dua program ini masih relevan, andai banyak hal ditambah baik. Program hiburan sentiasa ada pengikutnya. Maka sama ada suka atau tidak, ia perlu mengikut trend semasa.
Ini catatan pertama saya untuk kedua program utama Astro dan TV3 di awal 2025. Saya ada banyak pandangan tentang kedua-dua program ini. Pun begitu untuk kali ini, saya memilih memberi fokus pada juri yang menjurikan peserta. Siapakah yang masih relevan dan siapa pula patut disingkirkan untuk kelangsungan program terbabit.
Untuk 11 tahun GV, saya masih terpesona dengan komen serta pandangan Datuk Syafinaz dan Datuk Ramli MS. Kedua-duanya bijak memberi komen membina dengan ilmu seni yang bijak. Terus terang saya katakan saya lebih tertunggu komen kedua-duanya berbanding nyanyian para peserta.
Sementara bonda Hetty Koes Endang, sudah tidak relevan lagi untuk pentas GV. Dia banyak membuang masa mengajar peserta menyanyi mengikut caranya. Bebelannya umpama sang ibu yang taksub dengan 'zamannya' yang meminta si anak yang ada hala tuju sendiri mengikut caranya. Benar-benar bosan.
GV wajar mencari juri baharu untuk musim akan datang. Kita masih ramai lagi juri yang lebih bijak. Jika masih ingin wakil dari Indonesia, cari sahaja juri dari sana yang lebih berwibawa dan ‘fresh’.
Meletakkan Datuk Yusry, Ziana Zain, Cakra Khan untuk OIAM adalah pertaruhan terkini TV3. Menarik atau tidak gabungan mereka ini?
Bagi saya untuk Yusry boleh dibanggakan komennya. Ini julung kali dia berada di kerusi juri, jadi kita wajar memberi ruang untuk dia mengasah skil kritikannya . Saya OK dengan komen diberikan.
Cuma di sini saya kurang selesa dengan kehadiran Ziana. Saya melihat dia masih belum mampu untuk menjadi juri yang memberikan komen berilmu. Komennya masih sama setiap minggu. Boleh dijangkakan apa komen yang akan dia lontarkan.
Ziana harus bijak menyusun kata-kata dan memberi sedikit ilmu untuk para peserta. Ini bukan bermakna dia perlu seperti Syafinaz yang bijak memberi komen, tetapi sekurang-kurangnya sebagai orang lama, Ziana perlu ada ‘branding’ penjurian yang lebih bernas.
Agak 'malang' apabila saya melihat komen Ernie Zakri lebih bijak dan tahu menilai persembahan peserta. Komen Ernie lebih berilmu berbanding Ziana. Bukan membandingkan, tetapi Ziana perlu lebih peka dan belajar bagaimana menjadi juri yang bukan hanya 'stylo' di kerusi juri. Komennya jugak perlu 'stylo'.
Cakra Khan sebenarnya kalau tiada pun tidak menjadi hal. Kehadirannya tidak menambah cantik dan meriah komen OIAM. Cuma berbanding Ziana, komen Cakra sedikit berisi.
Pun begitu dia perlu lebih santai dan bersahaja. Mungkin boleh belajar daripada teman seangkatannya, yang menjuri program Indonesian Idol atau The Voices.
Juri turut 'dijurikan'
Peranan juri amat penting untuk memberi rencah pada setiap program sebegini. Jika juri skema dengan komen mereka, maka hambarlah program tersebut. Sebaliknya kalau juri terlebih ‘over’ pula maka rosaklah program tersebut.
Sebagai contoh mengapa Mas Idayu, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Adlin Aman Ramli, berjaya dengan kerja penjurian mereka. Ini adalah kerana mereka bercakap dengan ilmu dan jujur. Ini yang kita inginkan andai seseorang itu berada di kerusi juri.
Untuk pelapis juri, saya suka dengan komen daripada Yuna, Faizal Tahir, Misha Omar dan Ernie Zakri. Serta tidak lupa pada komen penjurian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam program Big Stage sebelum ini.
Beliau ada ‘trademark’ tersendiri dalam memberi komen sesuai dengan cara sopannya. Malahan acap kali tekaannya tepat ketika memberi komen di Instagram Storynya terhadap peserta setiap pertandingan nyanyian yang ditonton.
Kesimpulannya, juri tidak boleh syok sendiri. Jadilah juri yang berilmu dan ada perbendaharaan kata yang tinggi. Tidak semua boleh menjadi juri, dan bila terpilih sebagai juri, anda juga akan 'dijurikan' terhadap apa yang dikatakan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments