Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Nuri Terbang Malam, pinjam sayap M. Nasir untuk terbang sekali lagi

M. Nasir | FOTO: Luncai Emas

LEGENDA muzik tanah air, Datuk M. Nasir, sekali lagi mencetus inspirasi dengan rilisan terbaharunya; sebuah lagu klasik awal 1900-an berjudul Nuri Terbang Malam yang telah digubah semula.

Karya tersebut dipercayai merupakan lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.

Nuri Terbang Malam asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang dan dirakam di Singapura.

Ia menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah yang mencerminkan pelbagai budaya yang wujud di rantau ini pada zaman tersebut.

Liriknya pula berkisar tentang cinta yang tidak pernah pudar, seperti burung Nuri yang terus mencari di malam gelap.

Dalam usaha memberi nafas baharu kepada karya tersebut, Luncai Emas telah menerbitkan lagu Nuri Terbang Malam dengan versi rakaman baharu dan dinyanyikan oleh M. Nasir.

“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya.

"Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” ujar M. Nasir.

Dengan vokalnya yang penuh emosi dan sentuhan kreatif yang unik, M. Nasir bukan sahaja memberikan nyawa baharu kepada Nuri Terbang Malam, tetapi juga menghubungkan pendengar masa kini dengan warisan muzik Melayu.

100 lagu popular Melayu

Projek ini dijangka membawa penghargaan baharu kepada sejarah seni muzik tanah air serta memperkenalkan semula karya klasik ini kepada khalayak moden.

Ia bukan sekadar penghormatan kepada sejarah, tetapi juga bukti kebolehan seni M. Nasir dalam menghidupkan semula karya yang hampir dilupakan.

M.Nasir mahu kongsi karya lama kepada generasi baharuFOTO: Luncai Emas


Usaha pembangkitan semula lagu itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek kerjasama antara Luncai Emas dan World Business Affairs (WBA) yang diberi nama ‘100 Lagu 100 Tahun’.

Projek tersebut adalah cetusan idea daripada Professor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan juga produser serta komposer terkenal, Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer.

Objektif projek ini adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu mula dari abad ke-20 dalam bentuk audio dan juga buku.

Buku ini memuatkan informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, sekali gus menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini dan akan datang.

Buku ‘100 lagu 100 tahun’ bakal diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) Press, manakala audio hasil penerbitan Azmeer akan diedarkan oleh Luncai Emas sepanjang tahun 2025.

Dedikasi Allahyarham Nafie Spider

Allahyarham Hanafi Hamdan atau dikenali sebagai Nafie Spider bertanggungjawab selaku produser untuk menerbitkan lagu ini.

Nafie telah mereka semula struktur lagu tersebut dengan memperkenalkan rentak yang lebih rancak, tetapi masih mengekalkan elemen tradisional India dan Timur Tengah yang menjadi tunjang asal lagu ini.

Selain itu, Allahyarham juga telah menambah progresi kord untuk mencipta dinamik dan nuansa yang berbeza daripada lagu asal, memberikan pengalaman mendengar yang lebih moden dan segar .

"Secara tidak langsung, lagu ini adalah dedikasi buat arwah yang telah berkhidmat melakukan kerja-kerja rakaman serta susunan muzik untuk lagu ini sehingga ia siap sepenuhnya.

"Ini juga karya arwah sebelum meninggal dunia pada 22 November lalu akibat strok," ujar wakil Luncai Emas.

Sementara itu, bagi merealisasikan kemunculan Nuri Terbang Malam pada khalayak ramai di semua platform digital tersedia, sebuah Muzik Video arahan Sha Bromo telah dirakamkan berkonsepkan teater bangsawan yang dipentaskan pada tahun 1950 an dan bagaimana ia dipersembahkan pada era tersebut.

Menariknya terdapat persembahan nyanyian M.Nasir sebagai watak pencerita dalam lagu dan penggambarannya dibuat dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang mana ia turut menyaksikan penglibatan daripada pelajar–pelajar pusat pengajian itu.

Nuri Terbang Malam kini dipersembahkan di semua saluran muzik digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music dan lain–lain bermula 3 Januari lalu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments