Oleh: SORAYA AFNAN
PASANGAN sensasi Hollywood, Brad Pitt dan Angelina Jolie akhirnya rasmi bercerai di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada 30 Disember lalu setelah lapan tahun menjalani prosiding di mahkamah.
Kedua-duanya menandatangani persetujuan perceraian sekali gus menamatkan kemelut berpanjangan yang melanda rumah tangga mereka.
Menurut peguam yang mewakili Jolie, James Simon, anak guamnya lega apabila akhirnya berjaya menyelesaikan kes perceraian tersebut.
"Lebih lapan tahun lalu, Jolie memfailkan perceraian terhadap Pitt. Dia dan anak-anak meninggalkan rumah dan harta yang dikongsi bersama. Sejak itu, dia berusaha mencari kedamaian untuk keluarga.
"Ini adalah satu bahagian daripada proses panjang dimulakan lapan tahun lalu. Secara jujurnya, Jolie sangat letih, tetapi lega kerana bahagian ini sudah selesai," katanya sebagaimana dipetik daripada agensi berita CNN.
Biarpun perceraian tersebut telah sah, masih terdapat beberapa isu lain yang perlu diselesaikan mengikut persetujuan bersama termasuk pemilikan aset bernilai RM277 juta selain ladang anggur Chateau Miraval di Perancis.
Terdahulu bintang filem Maleficent memfailkan perceraian pada 2016 selepas dua tahun mendirikan rumah tangga atas alasan tiada lagi persefahaman.
Bagaimanapun proses perceraian itu tidak mudah apabila tercetus pelbagai konflik antara mereka termasuk tindakan Jolie, 50, yang memohon untuk mendapatkan penjagaan penuh ke atas anak-anak mereka.
Pasangan itu memiliki tiga cahaya mata iaitu Shiloh, Vivienne dan Knox serta tiga anak angkat, Maddox, Pax dan Zahara. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments