Oleh: SORAYA AFNAN
KEDIAMAN mewah selebriti terkenal, Paris Hilton, yang terletak di Malibu hangus dijilat api susulan insiden kebakaran hutan di California, Amerika Syarikat.
Paris, 43, tidak dapat menahan kesedihan melihat rumah yang banyak menyimpan kenangan buatnya dan keluarga itu lenyap dalam sekelip mata.
Menurutnya, kediaman terbabit cukup bermakna buatnya dan suami, Carter Reum terutama selepas kelahiran dua cahaya mata mereka, Phoenix, 2, dan London yang kini berusia 14 bulan.
"Saya percaya perkara ini tidak sepatutnya dialami oleh sesiapa pun. Rumah ini adalah tempat kami membina begitu banyak kenangan berharga.
“Kami boleh membina banyak lagi rumah, tetapi tidak akan sama dengan tempat istimewa yang kita sudah lama tinggal dan menyimpan memori bermakna,” katanya.
Tidak hanya Paris, tetapi tragedi yang melanda wilayah sekitar Malibu hingga ke Santa Monica itu turut melibatkan beberapa selebriti Hollywood lain seperti Spencer Pratt, Leighton Meester yang turut berdepan kemusnahan sama.
Sementara Mandy Moore, Jamie Lee Curtis, Jennifer Love Hewitt, Billy Crystal, Anna Faris dan James Woods pula antara yang terpaksa mengosongkan kediaman mereka atas faktor keselamatan.
Jabatan Bomba California melaporkan, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas hampir 11,000 hektar dan api terus merebak. Tragedi tersebut turut memusnahkan lebih 1,000 bangunan dan mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments