PENYANYI dan komposer Hael Husaini mencipta kehangatan tersendiri apabila tampil memeriahkan acara pertunjukan fesyen terkenal di Milan dan Paris Fashion Week 2025.
Selain dikenali dalam bidang seni muzik, Hael kini semakin mencipta nama sebagai seorang ikon fesyen.
Kehadirannya di Milan dan Paris Fashion Week FW25 tidak hanya membawa perhatian media fesyen, tetapi juga memberi inspirasi kepada banyak generasi muda untuk mengejar impian mereka dan menampilkan diri dengan keyakinan.
Ini merupakan kali keempat Hael dijemput secara ekskusif ke pertunjukan fesyen di Eropah. Artis naungan Rocketfuel Entertainment itu bukan sahaja menjadi contoh kepada artis Malaysia, tetapi juga kepada peminat fesyen global.
“Ini bukan hanya tentang penampilan, tetapi peluang untuk menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai bakat yang boleh bersaing di peringkat dunia, tidak kira dalam muzik atau fesyen,” ujarnya.
Tampil bergaya dan penuh karisma, bintang yang juga dikenali sebagai Ikon Fesyen Malaysia itu menjadi sorotan di beberapa pertunjukan fesyen jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Emporio Armani, Zegna, Amiri dan juga Kenzo yang rata-ratanya dikuasai oleh kehadiran selebriti terkenal dunia.
Penyanyi lagu Jampi itu memulakan pengembaraan fesyennya di Milan dengan kehadiran di pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana.
Tampil dalam rekaan elegan dan berani, Hael sempat beraksi di hadapan lensa kamera dan media dengan gayanya yang mempesonakan.
Tidak hanya bergaya, dia juga berkesempatan bergaul mesra bersama selebriti dan pelakon terkenal Korea seperti Jung Hae-in, Nam Yoon-su dan Noh Sang-hyun.
Pertemuan eksklusif bersama Giorgio Armani
Tidak cukup dengan itu, Hael turut berkesempatan menghadiri pertunjukan fesyen jenama Emporio Armani dan berkesempatan bertemu dengan pereka fesyen legenda, Giorgio Armani.
Mengakui ia sebagai kesempatan berharga buat dirinya, Hael tidak dapat menyembunyikan rasa kagumnya terhadap pereka fesyen ikonik ini.
“Bertemu dengan Giorgio Armani adalah satu pengalaman yang tidak ternilai. Beliau adalah seorang maestro dalam dunia fesyen yang telah memberi impak besar dalam landskap fesyen antarabangsa.
"Saya merasa sangat bertuah dapat berjumpa dengannya dan belajar tentang dedikasi serta visi beliau dalam dunia seni," katanya teruja.
| FOTO: Rocketfuel Entertainment |
Tidak hanya setakat itu, Hael turut melangkah ke pertunjukan fesyen Zegna yang glamor dan berpeluang bertemu dengan pelakon Hollywood terkenal, Mads Mikkelsen.
Berada di samping personaliti seperti Mads, Hael semakin menyerlah sebagai figura yang memikat dalam dunia fesyen antarabangsa dengan stailnya tersendiri.
Dari Milan ke Paris
Selepas menawan pentas minggu fesyen Milan, Hael meneruskan momentum di Paris dengan menghadiri pertunjukan fesyen eksklusif jenama mewah Amiri.
Pada acara itu, Hael sempat bertemu berapa personaliti ternama termasuk Ed Westwick (bintang siri Gossip Girl), Sunwoo (The Boyz), Jespipat Tilapornputt dan pelakon terkenal Thailand, Bible Sumetikkul.
Sementara pada pertunjukan fesyen Kenzo, Hael berpeluang duduk sebaris dengan ikon fesyen Filipina, Heart Evangelista, dan rapper antarabangsa, NLE Choppa.
Hael mencuri perhatian dengan gaya uniknya yang serasi dengan jenama yang menekankan keaslian dan keberanian dalam ekspresi diri.
Dengan penampilan memukau dan pesonanya yang menyerlah, Hael Husaini membuktikan bahawa impian besar memerlukan usaha keras, ketekunan dan keberanian untuk kehadapan.
Kehadirannya di Milan dan Paris Fashion Week FW25 tidak hanya membanggakan negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada anak muda untuk berani mengejar impian mereka dan tampil penuh keyakinan.
Persiapan AJL39
Dalam perkembangan lain, Hael kini giat membuat persiapan untuk Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), di mana perancangan dan persiapannya telah mencapai tahap 70 peratus siap.
"Saya ingin memberikan persembahan yang benar-benar ikhlas dan bermakna. Ini adalah peluang untuk saya berkongsi cerita melalui muzik dan memberi yang terbaik kepada peminat," katanya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments