Hot Posts

6/recent/ticker-posts

GV11: Zehra Zambri 'Silent Killer'



[Nota Kedai Kopi Bandara]

BEZANYA umpama langit dan bumi apabila dua irama rock dan dangdut dinyanyikan sekali. Tidak ramai penyanyi mampu memberi ‘roh’ dalam dua genre itu. Namun Zehra Zambri bagaikan pembunuh senyap. Dia hadam dengan rakus kedua-keduanya tanpa nampak canggung atau dibuat-buat.

Bangkit dan bingkas semenjak minggu lalu, Zehra saya pasti tidak senang duduk sekarang. Dia perlu membuktikan dirinya bukan lagi penambah rasa atau ‘sekadar di pinggiran’ dalam Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11). Dia perlu ke pentas akhir untuk memberi ‘rating’ terbaik Astro kali ini.

Zehra mengingatkan saya kepada Siti Nordiana atau Nana. Seperti Zehra yang dipandang sebelah mata pada awal kemunculannya di GV, perlahan-lahan Nana memperlihatkan taringnya sehingga bergelar juara. Hakikatnya antara barisan juara GV, Nana berada di kelas tersendiri dan kembali popular selepas masuk dan menang GV2.

Zehra Zambri pun boleh melakukan perkara sama. Saya berkeyakinan dia mampu memberikan sesuatu yang lebih lagi di pentas separuh akhir terutama menerusi lagu viral ciptaan Ajai, nyanyian Asmidar, Biar Sampai Ke Bintang. Vokal Zehra sesuai dengan lagu tersebut. Tambah perasa sedikit Zehra pasti ke final.

Program pertandingan dengan mencabar penyanyi dengan pelbagai genre lagu seperti GV, adakala nampak janggal demi memperlihatkan kemampuan sebenar seseorang penyanyi yang serba boleh.

Ada yang berjaya, ada yang tewas. Justeru pemilihan lagu yang betul adalah kunci untuk mara dan terus ‘geprek’ seperti kata Bonda Hetty.

Melihat pada prestasi perjuangan setiap peserta yang bagus dan jika di separuh akhir kesemuanya memberikan saingan sengit, adalah tidak mustahil kesemuanya akan dibawa ke final. GV sentiasa ada kejutan demi kejutan bukan?

Liza Aziz dan Ning Baizura, kedua-duanya tidak mungkin tercicir. The Lima dan Dadali Dryga pula sentiasa konsisten dalam persembahan mingguan mereka. Sementara Ronnie dan Sheila Abdul antara yang wajar berada di pentas akhir kerana mereka membuktikan mereka juga ada kelebihan tersendiri.

Lalu jika begitu, siapa yang gagal buat persembahan terbaik di pentas separuh akhir akan menjadi mangsa.

Untuk Zehra Zambri teruslah keluarkan kuasa elemental tahap 3, BoBoiBoy anda itu. Terbaik. - 7KLIK

~  Nota by Jebat Iskandar ~

(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments