KESEMUA bintang Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) berjaya mara ke minggu seterusnya apabila tiada penyingkiran pada konsert minggu ketujuh yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.
Fairuz Selamat yang menyampaikan lagu OMK (Oh My Kadhale) nyanyian asal Ezra Kairo dan Zubir Khan berada di tangga tercorot dengan markah 50.20 peritus (%).
Bagaimanapun bekas vokalis kumpulan Q-Face itu berpeluang meneruskan aksi di pentas GV pada minggu seterusnya bersama bintang-bintang lain apabila tiada penyingkiran dilakukan pada minggu ini.
Sementara itu, Liza Aziz terus cemerlang di tangga pertama dengan persembahan mantap yang ditampilkan menerusi lagu Damello (Dolla).
Liza mendapat pujian juri apabila berjaya menyampaikan lagu penyanyi generasi baharu dengan baik, sekali gus mendapat markah tertinggi, 81.90%.
Pada minggu ketujuh yang mengangkat tema 'Gwencana', barisan peserta diminta menyampaikan lagu-lagu di luar zon selasa dan bukan pilihan mereka.
Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap.
GV11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry AlHadad disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam. - 7KLIK
1. Liza Aziz - Damelo (81.90%)
2. Dyrga Dadali - Dikir Rambong (75.50%)
3. Sheila Abdull - Es Lilin (72.40%)
4. Ronnie Hussein - Durian Dah Berbunga (68.10%)
5. Ning Baizura - Cinta Setandan Pisang (66%)
6. Zehra Zambri - Hai Obat (65.40%)
7. The Lima - Aneka Ragam (65.30%)
8. Arrora Salwa - Wada Karo Nahin Chodoge Tum Mera Saath (59.80%)
9. Fairuz Selamat - OMK: Oh My Kadhale (50.20%)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments