Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Gempak Most Wanted Awards 2024 angkat tema ‘Flex Your Art’

| FOTO: Astro

ASTRO kembali mengangkat pilihan pengguna media sosial menerusi penganjuran Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2024 dengan pengumuman calon Top 5.

Anugerah berprestij di bawah jenama Astro Gempak itu merangkumi 11 kategori termasuk Selebriti Tergempak, Program Digital Tergempak, Digital Creator (Lifestyle) Tergempak, Digital Creator (Foodie) Tergempak dan Digital Creator (Motivation & Education) Tergempak.

Edisi 2024 turut memperkenalkan anugerah khas Keluang Man of the Year yang mengiktiraf individu yang memberi impak positif dalam komuniti, juga anugerah utama Gempak Most Wanted 2024 untuk calon individu yang mendapat undian tertinggi secara keseluruhan.

Antara yang tercalon dalam senarai Top 5 GMWA 2024 termasuk penyanyi popular Aina Abdul yang kembali mendominasi persaingan kali ini dalam tiga kategori iaitu Lagu/Audio Tergempak (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu, bersama Fabio Asher), Program Digital Tergempak (Confession Bilik Gelap) dan Video Muzik Tergempak (Puas Sudah).

Pemenang anugerah utama edisi 2023, pelakon Anna Jobling, turut kembali tercalon dalam kategori Selebriti Digital Tergempak bersama-sama pelakon pecah panggung seperti Amir Ahnaf, Meerqeen, Erysha Emyra dan Scha Elinnea.

Sementara kategori Digital Creator (Beauty & Fashion) Tergempak iaitu antara pecahan terbaharu dalam senarai kategori GMWA 2024 menampilkan personaliti media sosial kegemaran ramai seperti Sofea Shra, Hawa Johanis, Malia Baby, Agy dan Yana Hassan sebagai calonnya.

Meneruskan tradisi meraikan pencapaian individu yang mencetuskan fenomena di media sosial, GMWA 2024 juga menampilkan lagu tema baharu berjudul Gempak Most Wanted, nyanyian duet Hael Husaini dan Nadeera Zaini.

GMWA 2024 turut mencatat sejarah baharu menerusi undian fasa pertama, yang berlangsung dari 28 November hingga 28 Disember 2024.

Jumlah undian merekodkan pencapaian luar biasa sebanyak 9.5 juta, iaitu lapan kali lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya iaitu1.3 juta undian.

Sambutan luar biasa

Mengulas kejayaan tersebut, Ketua Content Studio, Astro, Syazwan Zakariah, berkata, peningkatan undian luar biasa itu mencerminkan sokongan serta minat mendalam rakyat Malaysia terhadap GMWA.

"Rekod ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan GMWA sebagai platform utama meraikan bakat dan personaliti digital, tetapi juga menjadi inspirasi buat kami untuk membawa edisi 2024 ke tahap yang lebih gemilang.

"Kami amat berbesar hati dan teruja untuk terus meraikan kejayaan ini bersama para peminat dan komuniti digital.

"Setinggi-tinggi terima kasih kepada Fritilldea, selaku pereka seni GMWA pada kali ini kerana membawa idea-idea kami menjadi nyata menerusi visual yang diterbitkan olehnya,” ujarnya.

Ara Johari, Amelia Handerson dan Sherry AlHadadFOTO: Astro

Ryan Bakery, Shuib dan AcapFOTO: Astro

GMWA 2024 bakal menyinari pentas dengan tema ‘Flex Your Art’, menyeru setiap pencipta kandungan digital untuk meneroka dan menonjolkan keunikan karya menerusi pelbagai medium.

Tema tersebut menjadi platform untuk meraikan nilai dan keistimewaan setiap ciptaan, memupuk rasa bangga secara positif, serta menginspirasi keberanian berkongsi karya di pentas dunia tanpa batasan.

Acara ini mengekalkan hos tetap program, Amelia Henderson dan Sean Lee, di samping Sherry AlHadad sebagai pengacara. 

Malam anugerah berprestij ini akan dimeriahkan dengan persembahan daripada barisan artis terkenal seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly dan Insomniacks. Tidak ketinggalan wajah-wajah baharu seperti 53 Universe, Naki dan Najmi Niery.

Menarikya, acara kemuncak itu juga bakal menampilkan kejutan dengan membawakan persembahan diva terkemuka, sebuah band popular dan bintang dari negeri seberang. 

Undian fasa kedua, atau pemenang utama bagi setiap kategori boleh dilakukan di laman rasmi www.gempakmostwantedawards.com bermula 15 Januari 2025, jam 6 petang sehingga 23 Februari 2025, jam 12 tengah hari.

GMWA 2024 bakal berlangsung pada 23 Februari 2025 dari Auditorium MBSA, Shah Alam, eksklusif di saluran Astro Ria (104), On Demand, Astro GO, sooka dan semua platform digital Astro Gempak. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments