PENYANYI Nai Dinamik menjadi peserta pertama meninggalkan pentas Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.
Nai atau nama sebenarnya James Junai Juki, 58, tampil menyampaikan lagu Apa Nak Dikata nyanyian asal kumpulan XPDC berada di tangga paling bawah berbanding peserta lain dengan markah 40.60 peratus (%).
Pada awal persembahan Nai, berlaku sedikit kesilapan teknikal menyebabkan juri tetap, Datuk Ramli MS memberi peluang kedua kepadanya untuk memulakan semula persembahan.
Namun vokalis kumpulan Dinamik itu gagal membuat persembahan dengan baik apabila hilang fokus dan terlupa lirik.
Sementara itu, penyanyi Liza Aziz sekali lagi menduduki tangga teratas bagi tiga minggu berturut-turut setelah tampil dengan persembahan cemerlang menerusi lagu Ain't Nobody.
Bersama Liza, barisan peserta lain yang turut mara pada minggu hadapan ialah Ning Baizura, Inka Christie, Dadali Dyrga, The Lima, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Illa Sabry, Ronnie Hussein, Zehra Zambri dan Reshmonu.
Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
GV11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam. - 7KLIK
Kedudukan dan markah peserta pada minggu ketiga
1. Liza Aziz (73.40%)
2. Ning Baizura (65.60%)
3. Inka Christie (63.20%)
4. Dadali Dyrga (62.80%)
5. The Lima (60.50%)
6. Sheila Abdul (60.70%)
7. Arrora Salwa (60.10%)
8. Fairuz Selamat (59.40%)
9. Yazid Lovehunters (57.20%)
10. Illa Sabry (56.40%)
11. Ronnie Hussein (55.20%)
12. Zehra Zambri (53.50%)
13. Reshmonu (52.70 %)
14. Nai Dinamik (40.60%) - TERSINGKIR
ARTIKEL LAIN:
0 Comments