TAMPIL dengan persembahan memukau, penyanyi Hael Husaini dan Nadeera Zaini berjaya mencuri perhatian ramai pada Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 29 dan 30 November lalu.
Lebih membanggakan, kedua-dua artis naungan Rocketfuel Entertainment itu menerima permintaan istimewa daripada stesen TV Indosiar dan penganjur Asian TV Awards untuk membuat persembahan tambahan pada malam kedua.
Pada mulanya, Hael dan Nadeera hanya perlu menyanyikan dua buah lagu di acara itu, tetapi setelah melihat persembahan hebat mereka pada hari pertama, pihak Indosiar dan Asian TV Awards meminta mereka melakukan persembahan tambahan pada malam anugerah utama 30 November.
Tidak mahu menghampakan pihak penganjur, kedua-dua penyanyi itu bersetuju untuk melakukan persembahan tambahan pada malam kedua sebagaimana diminta.
Terdahulu pada malam pertama, Hael Husaini memukau ribuan penonton dengan persembahan bertenaga lagu-lagu popularnya seperti Jampi, manakala pada malam kedua dengan lagu Diam dan Kelentang Kelentong.
Gaya persembahannya yang penuh dengan karisma berjaya menawan hati penonton di lokasi dan jutaan peminat yang menonton secara langsung melalui saluran Indosiar dan aplikasi Vidio, yang dianggarkan mencecah hampir 500 juta penonton.
Saya amat bersyukur dan terharu dengan penghormatan ini. Pada asalnya, kami hanya dijadualkan untuk membawakan dua lagu, tetapi apabila diminta untuk membuat persembahan tambahan, ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa.
“Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij ini. Ini adalah peluang besar untuk berkongsi budaya dan muzik Malaysia dengan dunia,” ujar Hael.
Aksi Hael menghiburkan penonton pada Anugerah Televisyen Asia ke-29 | FOTO: Rocketfuel Entertainment |
Sementara Nadeera pula tidak kurang hebat dengan lontaran vokal dan persembahan penuh emosi menerusi lagu-lagu klasik popular iaitu Nirmala dan Bukan Cinta Biasa.
Tidak ketinggalan, penyanyi itu mendendangkan single nyanyiannya, Bukan Lagi Kita, yang juga merupakan runut bunyi drama Curang Tanpa Niat, turut mencuri perhatian penonton serantau.
“Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada penonton di sini.
Dapat kembali ke pentas pada malam kedua dengan lagu tambahan atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan yang tidak ternilai dan ini adalah pengalaman yang luar biasa.
"Sokongan peminat dari Malaysia dan juga luar negara memberikan kami semangat untuk terus berkarya dan membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Nadeera terharu.
Vokal hebat Nadeera mencuri perhatian ramai | FOTO: Rocketfuel Entertainment |
Selain mendapat sorakan gemuruh daripada penonton di studio, persembahan mereka turut menerima pujian daripada media antarabangsa dan penggiat seni dari negara-negara lain yang hadir pada acara tersebut.
Dengan siaran langsung yang disaksikan oleh hampir 500 juta penonton dari seluruh Asia, persembahan Hael Husaini dan Nadeera Zaini pada Anugerah Televisyen Asia ke-29 telah mengukir nama mereka dalam sejarah hiburan serantau dan membuka pintu untuk lebih banyak peluang untuk mereka bergerak maju di masa depan.
Antara selebriti Asia yang hadir di acara ini ialah Luna Maya, Raffi Ahmad, Tony Gapa, Robby Purba dan Louise Hesse, Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose, Putri Ariani dan ramai lagi.
Anugerah Televisyen Asia merupakan acara tahunan yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri televisyen Asia. Acara ini merangkumi pelbagai kategori termasuk Drama Terbaik, Pelakon Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Persembahan Muzik Terbaik, dengan penyertaan dari lebih 20 negara di seluruh rantau Asia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments