HANYA memperpolehi markah sebanyak 53.40 peratus (%), penyanyi Inka Christie diumumkan tersingkir pada konsert minggu keempat Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.
Mengisi tema 'Hora Horey', bintang kelahiran Indonesia itu menyampaikan lagu Warna, nyanyian asal Datuk Sheila Majid. Namun persembahan tersebut kurang menambat hati barisan juri sekali gus meletakkan kedudukannya di tangga terbawah.
"Hari ini saya berterima kasih kepada juri yang ada di sini serta peminat dan rakan-rakan yang memberikan sokongan terhadap saya.
"Saya senang dapat menjalinkan silaturahim di Malaysia dan ini merupakan satu penghargaan buat saya. Terima kasih," ujarnya.
Sementara itu, Ronnie Hussein buat pertama kalinya berada di tangga teratas, sekali gus mengetepikan Liza Aziz yang sebelum ini mengungguli takhta juara selama tiga minggu berturut-turut.
Tampil dengan persembahan mantapnya menerusi lagu Keindahan Pantai (M.Shariff), Ronnie bukan sahaja mendapat pujian daripada juri, tetapi juga perhatian daripada penonton yang terhibur dengan nyanyian yang ditampilkan.
Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Datuk Yusof Haslam sebagai juri jemputan.
GV11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam. - 7KLIK
Kedudukan dan markah peserta pada minggu keempat
1. Ronnie Hussein (76.40%)
2. Dadali Dyrga (75.10%)
3. Liza Aziz (74.80%)
4. Reshmonu (71.90%)
5. Fairuz Selamat (70.80%)
6. Sheila Abdul (70.30%)
7. The Lima (69.50%)
8. Yazid Lovehunters (69.20%)
9. Arrora Salwa (65.70%)
10. Zehra Zambri (61.10%)
11. Illa Sabry (60.80%)
12. Ning Baizura (60.60%)
13. Inka Christie (53.40%) - TERSINGKIR
ARTIKEL LAIN:
0 Comments