PENYANYI Kilafairy mendedikasikan penampilan istimewanya dalam konsert legenda tersohor Bollywood, Udit Narayan yang bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada pada 28 Disember ini khas buat arwah ibunya, Allahyarham Rohana Jalil.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan, mengakui mahu arwah ibunya menjadi saksi kepada momen yang bakal menjadi sejarah manis buat kerjaya seninya itu.
“Saya mahu arwah ibu, jadi saksi pembabitan saya dalam konsert epik dan bersejarah bersama legenda tersohor Bollywood, Udit Narayan.
"Jika arwah ibu masih hidup pasti beliau bangga,” ujarnya.
Bintang 32 tahun itu dipilih untuk tampil dalam Konsert Udit Narayan In KL kerana kredibilitinya sebagai seorang penyanyi yang fasih menyanyikan lagu Bollywood.
Pastinya Kilafairy mempunyai banyak sebab untuk berasa teruja dan berbangga selepas dipilih berkongsi satu panggung bersama ikon muzik Bollywood itu.
Salah satunya adalah anak kepada penyanyi Allahyarham Rohana Jalil ini menjadi penyanyi wanita Malaysia yang terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Teruja
Kilafairy menyifatkan peluang emas yang diberikan kepadanya umpama mimpi menjadi kenyataan dan pastinya akan memberikan yang terbaik dalam konsert terbabit.
“Udit Narayan ada seorang figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana merupakan peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan aktor itu dalam filem lakonannya adalah vokal Udit.
Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon.
“Saya juga bangga kerana ini merupakan penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan pesohor Udit Narayan. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan,” katanya.
Kilafairy janji berikan yang terbaik dan tidak akan mensia-siakan peluang diberikan. |
Bercerita lanjut, Kilafairy yang kini giat menjalani latihan vokal memberitahu akan membawakan sebuah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama penyanyi Syamel pada konsert tersebut.
“Saya akan menyanyikan sebuah lagu solo dan berduet dua buah lagu dengan Syamel pada malam 28 Disember 2024 nanti.
“Sekarang saya giat menjalani latihan vokal serta mendalami lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu. Ia penting malah lagu Tamil dan Hindi juga punya lenggok berbeza,” jelasnya.
Minat Bollywood sejak kecil
Berkongsi minatnya terhadap lagu-lagu bollywood, Kilafairy mengakui irama itu bukan asing buat dirinya dan keluarga.
Malah dia sudah mula menyanyi lagu-lagu Bollywood sejak berusia 8 tahun dan sering menonton filem Bollywood bersama keluarga.
Tambahnya lagi, dunia Bollywood selalu membawa dirinya pulang ke masa silam, menikmati momen bersama keluarga terutama arwah ibu yang kembali ke Rahmatullah pada 2023.
“Saya mula menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak usia 8 tahun dan menonton karyanya sudah seperti menjadi satu tradisi dalam keluarga sejak saya kecil.
“Saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter diterjemahkan dan instrumen serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood.
“Maka apabila terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL, saya terasa pulang kembali ke masa silam saat menghabiskan momen menonton filem Bollywood," akuinya.
Mengimbau kenangan lalu, penyanyi dan pelakon itu berkata, dia dan keluarga sering meluangkan masa bersama menonton filem Bollywood dan berkongsi emosi sama sepanjang tontonan.
“Khabi Khushi Khabi Gham merupakan filem yang saya dan keluarga tonton sebanyak lima kali dan masih menangis.
“Arwah ibu saya juga sangat meminati lagu Khushiyan Aur Gham Movie daripada filem Mann. Saya sendiri meminati terlalu banyak karya Udit Narayan terutama daripada filem Devdas, Mann dan Taal. Semuanya menusuk jiwa,” katanya.
Kilafairy bakal mengenakan busana Bollywood hasil rekaan Shanell Harun |
Menaruh harapan agar Konsert Udit Narayan In KL berjalan lancar, Kilafairy juga mendedahkan akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood.
“Saya akan menyarung busana daripada pereka Shanell Harun. Tentu sahaja ia akan punya tema Bollywood namun tidak ada yang berlebihan.
“Saya akan tampil dengan gaya sederhana tapi elegan seperti penampilan selalu,” kongsinya teruja.
Konsert Udit Narayan In KL yang dibawakan oleh VVST Digital Creation itu akan menjadi saksi ikon legenda muzik Bollywood yang terkenal dengan gelaran Raja Melodi dan memiliki lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad berkarier itu kembali ke Malaysia selepas 12 tahun.
Cukup terkenal dengan lagu ikoniknya seperti Papa Kehte Hain, dan persembahan dalam filem Qayamat Se Qayamat Tak, Udit akan membawa para peminat lagu Hindustan ke zaman kegemilangan industri filem dan lagu Bollywood iaitu era 90-an sehinggalah ke hari ini.
Pembelian tiket untuk konsert Udit Narayan in KL boleh dibuat menerusilaman web https://myticket.asia/ atau hubungi VVST Digital Creation di vvstdigital@gmail.com . - 7KLIK
[KREDIT: Terima kasih Opie]
ARTIKEL LAIN:
0 Comments