Hot Posts

6/recent/ticker-posts

'Masing-Masing' Soundtrack Sinetron Paling Ngetop, Ernie Zakri julang anugerah pertama di Indonesia

| FOTO: Instagram Ernie Zakri

PENYANYI Ernie Zakri melakar sejarah manis dalam kerjaya seninya apabila buat pertama kali merangkul anugerah pada acara SCTV Awards 2024 di Indonesia.

Kejayaan itu diraih menerusi lagu nyanyiannya, Masing-Masing yang dinobatkan sebagai Soundtrack Sinetron Paling Ngetop pada acara berprestij yang disiarkan secara langsung dari Studio 6, Emtek City, Jakarta, malam Rabu.

Lagu yang terkandung dalam album Ernie berjudul Aura itu merupakan karya ciptaan komposer serta pemuzik Indonesia, Ade Govinda dan menjadi runut bunyi sinetron Luka Cinta yang disiarkan di stesen televisyen tersebut pada September tahun lalu.

“Terima kasih semua, alhamdulillah. Ini pertama kali saya masuk TV Indonesia. Masya-Allah, rezeki yang luar biasa. Terima kasih SCTV, Universal Music Malaysia dan Indonesia,” ucap Ernie sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang.

Menerusi kategori tersebut, Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, mengetepikan lagu Cinta Pertama dan Terakhirku nyanyian Sherina Munif (My Heart), Kehilanganmu (Shanna Shannon/Naik Ranjang), Ku Dengannya Kau Dengan Dia (Afgan/Di Antara Dua Cinta) dan Takkan Terpaling DariMu (Datuk Seri Rossa/Saleha).

Berita kemenangan itu dikongsi Ernie menerusi laman Instagram miliknya pantas menarik perhatian ramai sehingga ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri dengan ucapan tahniah. 

Bukan sahaja daripada peminat dan pengikut tetapi juga rakan dalam industri yang turut berbangga dengan pencapaian tersebut.

Kolaborasi Ernie dan Ade menerusi Masing-masing cipta sejarah manis | FOTO: Instagram Ernie Zakri


Pada acara sama, penyanyi 32 tahun itu turut tampil membuat persembahan dengan menyampaikan lagu Masing-Masing bersama pelakon wanita sinetron terbabit diiringi petikan gitar Ade Govinda.

SCTV Awards 2024 adalah acara tahunan yang dianjurkan untuk menghargai penggiat industri sinetron dan perfileman.

Ernie menjadi artis Malaysia kedua memenangi anugerah dalam acara itu selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memenangi trofi Artis Asing Paling Ngetop pada 2004. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments