Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[Al-Fatihah] Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun


LEGENDA muzik tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves sekitar jam 3.15 petang Ahad.

Ahmad Nawab atau nama sebenarnya, Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun akibat sesak nafas.

Berita duka itu disahkan anak Allahyarham, Nasir Nawab kepada sebuah portal berita sebentar tadi.

"Betul, bapa saya baru meninggal dunia di rumah kira-kira 3.15 petang tadi akibat sesak nafas," katanya sebagaimana dilaporkan.

Allahyarham Ahmad Nawab menceburi bidang muzik semenjak berusia 16 tahun dan sepanjang kerjaya seninya, beliau telah mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an sehingga kini.

Maestro legenda itu itu juga telah menghasilkan lebih 200 album melibatkan nama-nama besar dalam industri seperti Allahyarham Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Uji Rashid, Ramlah Ram dan ramai lagi, termasuk penyanyi Indonesia iaitu Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Allahyarham yang cukup sinonim dengan tiupan merdu saksafonnya juga merupakan individu penting di sebalik lagu ikonik, Malaysia Truly Asia yang dinyanyikan oleh Khadijah Ibrahim bagi mempromosikan negara di persada antarabangsa.

Pada 2006, Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik oleh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Sebelum itu, Allahyarham turut menerima anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000 atas kepakaran dan pencapaiannya dalam bidang muzik.


Pada Jun tahun lalu, maestro muzik disegani yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun itu dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Difahamkan jenazah kini berada di rumahnya di Taman Melewar dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Gombak sekitar pukul 10 pagi Isnin, selepas pengurusan jenazah di surah berhampiran kediamannya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments