Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sah cerai talak satu, perkahwinan Syamsul dan Ira Kazar berakhir


PERKAHWINAN pengarah Syamsul Yusof dan Ira Kazar berakhir apabila pasangan itu sah bercerai dengan talak satu pada Khamis.

Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor hari ini mengesahkan berlakunya talak selepas wujud pelanggaran taklik sebanyak lima kali oleh Ira sejak 14 Ogos lalu.

Lafaz taklik ialah lafaz cerai dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik di mana jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.

Hakim Syarie Mohd Faizal Habib membuat pengesahan cerai itu selepas berpuas hati dengan pengakuan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, selepas wujud pelanggaran taklik.

Memetik laporan Sinar Harian, peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Rais berkata, mahkamah mengesahkan berlakunya pelanggaran lafaz taklik selepas Ira mengakui membuat hantaran di media sosial.

"Ira telah melanggar taklik sebanyak lima kali selepas membuat hantaran di media sosial dalam keadaan rela dan tanpa paksaan bermula 14 Ogos lalu. Tempoh idah Ira juga bermula pada tarikh pelanggaran taklik (14 Ogos lalu)," katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Fadhil Abd Razak yang mewakili Ira berkata, mahkamah mendapati penceraian pasangan itu telah berlaku di luar mahkamah dan dengan keputusan  mahkamah hari ini, kes cerai kedua-dua mereka sudah selesai.

"Jadi, hari ini sudah jatuh talak satu pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan kes di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur tidak diteruskan" katanya.

Terdahulu  nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada 19 Ogos lalu selepas 21 bulan hidup bergelar suami isteri kerana tidak lagi mempunyai persefahaman.

Sebutan kes berkenaan sepatutnya berlangsung pada 25 September ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. Sebelum itu Syamsul pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun 2023. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[Kredit: Sinar Harian & Berita Harian]

Post a Comment

0 Comments