Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kelainan dalam muzik Hamba Cinta, Syamel mahu serlah sisi berbeza

FOTO: Warner Music Malaysia

MAHU meneroka genre baharu dan mencari kelainan, penyanyi Syamel teruja dapat menampilkan single baharu, Hamba Cinta yang sudahpun menemui peminat pada Ogos lalu.

Lagu berentak pop jazz itu dilihat sedikit berbeza daripada kebiasaan lagu-lagu nyanyiannya yang pernah ditampilkan sebelum ini.

Melihat sambutan hangat diberikan peminat sejak dilancarkan, Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, meluahkan rasa syukur dan menganggap itu petanda dia berada di landasan betul apabila memilih sisi berbeza untuk karya kali ini.

"Saya hanya mahu memberikan kelainan dan membuktikan bahawa muzik adalah sesuatu yang luas dan sesiapa sahaja boleh meneroka potensi baharu untuk mencari kepuasan dalam berkarya.

“Sebagai penyanyi saya mahukan kelainan dalam repertoire sendiri terutama bila mengadakan persembahan. Semua pendengar mahu gembira menikmati muzik dan saya sendiri tidak mahu memberikan lagu berentak perlahan atau balada semata-mata.

“Bila bercerita mengenai muzik, kepelbagaian itu sangat penting. Muzik perlu dinikmati dengan seribu satu rasa. Harapnya mereka akan gembira menikmati Hamba Cinta pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambah Syamel, intipati lagu itu diambil daripada kisah hati yang menimpa sebuah perhubungan. Kasih sayang dan pengorbanan dibina akhirnya sia-sia dek pengkhianatan, malah membunuh sebuah kepercayaan seperti yang terjadi kepada kebanyakan pasangan.

Syamel ketika majlis pelancaran single Hamba Cinta baru-baru ini | FOTO: Warner Music Malaysia

Pada akhirnya, kasih sayang yang dibina bagai tiada harga dan mereka tidak lagi mahu menjadi hamba kepada sebuah perhubungan sebegitu.

"Terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh saya bersama Yusuff Khan, Adam Armi dan Adly Kiddy yang bertindak selaku pencipta lagu ini.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan ini merupakan lagu paling banyak melalui perubahan susunan muzik sebelum masuk ke studio rakaman," ungkapnya bintang berusia 31 tahun itu lagi.

Pasukan baharu

Meskipun ini merupakan kerjasama pertama antara mereka, ia dilakukan demi memastikan hasil akhir memberikan kepuasan buat semua yang terlibat di belakang tabir seterusnya diterjemahkan ke dalam sebuah muzik video (MV).

Mengulas tentang MV Hamba Cinta, Syamel berani mengambil cabaran menggunakan pasukan baharu dalam penerbitan. Malah, beberapa kod rahsia dan mesej tersembunyi turut disuntik bagi memastikan apa yang ingin diterjemah sampai kepada pendengar.

Single tersebut merupakan permulaan kepada sebuah transisi besar yang akan berlaku kepada perjalanan seni Syamel memandangkan dia bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia sudah merancang untuk menerbitkan sebuah album penuh.

Lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album berkenaan terdiri daripada pelbagai genre seperti pop rock, RNB, pop jazz, selain lagu balada yang sudah sebati dengan dirinya sejak memulakan karier seni.

Namun sebagai pengkarya, perubahan dilakukan seiring dengan kematangan dirinya yang mahu meneroka sisi lain sebelum mengeluarkan album penuh yang dijadualkan terlaksana pada tahun hadapan.

“Selain sibuk mempromosikan Hamba Cinta, saya juga sedang mengumpul dan menerbitkan material baharu untuk album tersebut. Semua itu perlukan masa dan saya tak mahu tergesa-gesa menerbitkan tanpa sebarang persediaan.

“Saya gembira kerana pihak syarikat rakaman memberikan kebebasan untuk berkarya dan banyak kelainan akan diberikan demi memastikan peminat puas dengan karya baharu yang akan diterbitkan nanti,” katanya yang sudah merakamkan dua buah lagu sebelum ini bersama Warner Music Malaysia.

Versi dangdut

Meski mahu berubah angin, Syamel tidak akan sesekali meninggalkan lagu balada yang sudah sebati dengan dirinya.

Apatah lagi penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Hidaup Dalam Mati itu memahami kehendak sebahagian besar peminat yang masih tertumpu kepada genre berkenaan dan gembira memenuhi kemahuan mereka.

Syamel bakal tampil dengan album penuh dan konsert solo tidak lama lagi | FOTO: Warner Music Malaysia

Dalam pada itu, Syamel berkata, Hamba Cinta turut dirakam dalam versi dangdut sebagai memenuhi kehendak semasa dan mencari kelainan. Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, versi berkenaan juga sedikit sebanyak menyerlahkan lagi sisi lain Syamel.

“Idea untuk menghasilkan lagu versi dangdut ini terhasil apabila melihatkan trend di TikTok. Saya mahu peminat mendengar dan melayan lagu ini sambil menari dan sebagainya.

"Bila melihatkan banyak versi begini mendapat sambutan, saya ambil cabaran ‘terjun’ sama. Harapnya peminat enjoy dan menikmati versi dangdut itu nanti,” katanya yang sedang merancang mengadakan konsert solo sebagai penghargaan buat peminat yang setia menyokong kerjaya eninya selama ini.

Hamba Cinta kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer dan juga  YouTube Music. Sementara MV boleh ditonton melalui YouTube Warner Music Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments