Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Efek Rumah Kaca terbang di Udara Kuala Lumpur


MENJADI antara band senior yang berjaya menyentuh hati peminat lewat cerita kehidupan yang dibalut sempurna dalam beragam melodi mengasyikkan adalah jawapan mengapa Efek Rumah Kaca (ERK) masih wujud dalam belantika muzik.

Seperti mana nama band, ia benar-benar memberi efek buat pendengar ketika Cholil Mahmud selaku vokal utama dan gitar, Poppie Airil (vokal latar), dan Akbar Bagus Sudibyo (drum, vokal latar) memulakan perjuangan seni sejak dulu hingga kini.

Meski kurang melakukan persembahan pentas lantaran memberi keutamaan terhadap hal lain sekali gus kemunculan banyak band generasi baharu, ERK tidak mudah dilupakan.

Pernah berkongsi pentas dengan rakan seperjuangan pada 2022 di Kuala Lumpur, band asal Jakarta itu hadir kembali untuk menghiburkan peminat di Malaysia.

Kali ini ERK hadir secara solo demi memenuhi permintaan peminat yang tidak puas menikmati efek-efek muzik mereka yang hanya bertebaran sedikit ketika persembahan dua tahun lalu.

Mengakui teruja, Cholil mewakili rakan-rakannya berkata, mereka bersyukur diberi penghormatan menemui peminat di Malaysia dan akan mendendangkan banyak hit mereka di konsert tersebut.

“Kami berasa senang untuk kembali ke Malaysia dan kali ini lewat Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL, di mana ERK akan lebih intim berpesta dengan peminat.

“Sampai ketemu semua tanggal 25 Oktober ini. Semoga kita menikmati sinestesia bersama nanti,” katanya.


Shezco Sdn Bhd selaku penganjur berbesar hati membawa ERK ke Malaysia menerusi konsert solo yang diberi nama Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL yang bakal berlangsung pada 25 Oktober 2024 depan.

Menurut wakil penganjur, Kamarul Hafizad, judul konsert yang dinamakan 'Di Udara' adalah bersempena mengambil nama salah satu lagu popular mereka terhasil pada 2007 menerusi album sulung, Efek Rumah Kaca.

“Secara simboliknya kami menamakan persembahan ini sebagai Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL sempena pertama kali setelah sekian lama ERK tidak beramah mesra dengan peminat mereka di Malaysia.

“Jadi muzik dan kasih sayang di antara ERK bersama peminat akan bertebaran di udara sepanjang malam 25 Oktober 2024 di ruang Zepp KL kelak,” ujarnya.

Untuk menikmati indahnya karya ERK seperti Kamar Gelap, Jatuh Cinta Itu Biasa Saja, Balerina dan Cinta Melulu, jangan terlepas dapatkan tiket konsert tersebut di ILASSOTICKETS.COM .

Dengan pembelian tiket tiket berdiri (standing) pembeli akan mendapat potongan harga sebanyak 15 peratus. Tiket-tiket konsert dijual dengan harga RM188, RM218, RM268, RM448 (Royal Box) dan RM3,500 (Package 8 Pax/Meet & Greet). - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments