Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sitkom Apartmen Putra musim baharu lebih mencuit hati


MENJANJIKAN pengisian lebih segar dalam sketsa yang dipersembahkan di samping mengetengahkan isu-isu semasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat, sitkom terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Apartmen Putra bakal kembali mencuit hati penontonmulai penghujung tahun ini.

Memasuki musim keenam dan ketujuh, sitkom arahan Zarool Fahmee Khairuddin dan Rohayu A.W yang merupakan penerbit di Unit Drama TV RTM itu masih mengekalkan barisan pelakon asal iaitu Atu Zero, Eric Fuzi, dan Noorkhiriah.

Namun dalam masa sama turut menyaksikan kemunculan watak-watak baharu dibawakan oleh Mamak Puteh, Jiggy Masin, Dewa Sapri, Zulin Aziz, Elly Arifin, dan Kenchana Devi.

Dirakamkan di Studio M1, Angkasapuri, Kuala Lumpur, sitkom tersebut turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan pada setiap minggu.

Antaranya termasuklah Azhan Rani, Yasmin Hani, Nazeera Sardi, Datuk Fazley Yaakob, Faradhiya, Dr Soo Wincci, Ridzokumura, Adam Corrie, Noreen Iman, Mark Adam dan ramai lagi.

Perkongsian 13 episod setiap musim baharu mengetengahkan banyak kisah masyarakat kelas pertengahan dengan berlatar lokasi sebuah apartmen di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Pelbagai konflik dan masalah yang berlaku antara penghuni rumah tersebut namun dapat diselesaikan dengan baik meskipun terdapat percanggahan pendapat antara mereka.

Setiap isu atau masalah yang dihadapi dipersembahkan secara lucu dan bersahaja walaupun perkara tersebut agak serius.


Sitkom itu mengisahkan tentang tiga orang lelaki dalam sebuah apartmen iaitu Ba (Atu Zero), Subadron (Mamak Puteh) dan Uncle Joe (Dewa Sapri) yang merupakan penghuni baharu rumah berkenaan.

Ketiga-tiga mereka berbeza usia, kerjaya dan perangai. Ba berusia 30-an dan merupakan seorang 'propman' sebuah syarikat produksi, manakala Subadron (40-an) pula adalah seorang penganggur yang sedang mencari kerja, selain Uncle Joe (50-an) merupakan gamer profesional.

Apartmen Putra sebelum ini telah bersiaran sebanyak lima musim sejak November 2021 hingga Januari 2024. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:
[KREDIT FOTO: RTM - Terima Kasih Nurul Fariza]

Post a Comment

0 Comments