Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sebuah dedikasi buat Pyanhabib



[Nota Kedai Kopi Bandara]

ALLAHYARHAM Pyanhabib Rahman, seorang penyair tulus yang akan dikenang sebagai dia sampai bila-bila.

Pemergiannya pada 4 June lalu, masih berbekas. Apatah lagi saat penulis menghadiri acara Malam Baca Puisi di Rumah PENA yang diadakan pada Jumaat pertama setiap bulan, kelibatnya sentiasa ada di sana.

Sama ada dia turut terlibat dalam pembacaan puisi pada malam itu atau sebaliknya, dia pasti ada. Barangkali cintanya menebal di situ, sokongannya juga menggunung tinggi pada acara seni sebegitu, atau dia cukup senang bertentang mata dengan rakan-rakan seangkatan yang memperjuang seni serupa.

Jumaat lalu, penulis mempunyai kesempatan untuk hadir ke acara sama di Rumah PENA. Wajah-wajah sama menghiasi acara ini seperti biasa sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi, meski acara seni komersial lain lebih mendominasi.

Namun kali ini tiada kelibat Pyanhabib yang kelihatan. Terasa seperti ada, tetapi hakikatnya penyair unik dan tersendiri itu sudah berpulang ke negeri abadi genap sebulan lalu.

Dalam pada fikiran melayang-layang mengingat tingkah Allahyarham, tiba-tiba namanya disebutkan di pentas acara. Datuk Dr Ibrahim Ghaffar membaca sebuah puisi ciptaan terbaharunya yang didedikasi khas buat penyair tersohor itu dengan judul Nian: Kenangan Pyanhabib Rahman (Bukan sekadar rakan gelandangan).

"Saya momohon izin untuk membacakan puisi terbaharu saya sebagai mengenang salah seorang sahabat yang sering bersama kita di sini. Berguling-guling di sini, menangis di situ, bergendang dia di situ. Siapa... kalau bukan saudara Pyanhabib Rahman," ujarnya sebelum memulakan bacaan puisi istimewa itu.

Di sini penulis kongsikan puisi tersebut kepada para pembaca untuk dihayati bersama. Salinannya penulis perolehi daripada Dr Ibrahim sendiri yang kebetulan duduk semeja pada acara itu.

Semoga roh Pyanhabib atau Mohd Supyan Abd Rahman (1958 - 2024) ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh. AlFatihah. - 7KLIK

~ Nota by Sang Capybara ~


Nian: Kenangan Pyanhabib Rahman
(Bukan sekadar rakan gelandangan)

I
Selasa, dinihari menjelang Rabu
Semesta alam tiba-tiba terkedu
Fajar 4 June; Sinarnya beratib syahdu
Ya Khabir-Allah yang maha tahu
Seorang insah Bernama Pyanhabib Rahman
Pengembara mayapada sebagai seniman
Mengutip bait-bait puisi koleksi kehidupan
‘Lapar’ bukan gelandangan, nian ‘seniman jalanan’
Selamat kembali ke negri abadi yang aman

II
Tiba-tiba spontan terucap dari lisan
Terbit dari sudut hati yang Budiman
Ya Hakam-Allah Yang Maha menentukan
“Rasulullah Solallahu Alaihi Wassalam
Wafat ketika berusia 63 tahun,
Hari ini aku telah guna umur subsidi
Masih bernyawa; 66 usiaku kini
Semoga Allah sentiasa memberkati”

Saudara Pyanhabib Rahman yang kita kenali
Telahpun kembali ke negeri abadi

III
Empat penjuru alam + Tiga rahsia di dalam rahasia
Tujuh petala langit + Tujuh petala bumi akhirnya
Empat unsur kehidupan buat kita hidup sementara
Sebelum dijemput kembali kepada Maha Esa
Ya Khaliq-Allah Yang Maha Pencipta
Jenazah Allahyarham Pyanhabib Rahman
Urusan mandi, kafan, solat dan pengebumian
Di Masjid As-Sobirin semuanya lunas diuruskan

Semoga Allah merahmati dengan keampunan
Dan menemptakan bersama-sama orang beriman
Aamiin Ya Rabbal Aalamiin..

Ibrahim Ghaffar
Sanggar Damai Abadi, Klang
07/06/2024 - Khamis

Post a Comment

0 Comments