Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Olimpik Paris 2024: Penuh pesona! Koleksi The Malaya rekaan Rizman Ruzaini untuk kontinjen negara jadi bualan ramai


PEREKA fesyen tersohor tanah air, Rizman Ruzaini mendapat sorotan ramai apabila koleksi The Malaya, busana rekaan eksklusif untuk barisan atlet Malaysia di upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis pada 27 Julai ini tampil dengan penuh pesona.

Sebaik sahaja memperkenalkan koleksi itu pada Khamis, pemilik dan juga pereka jenama berkenaan iaitu Rizman Nordin dan Ruzaini Jami menerima pujian daripada orang ramai yang kagum dengan cetusan idea dan rekaan mereka.

Koleksi The Malaya berkonsepkan busana tradisional iaitu Baju Kurung yang dilengkapi kerubung atau selendang untuk wanita dan Baju Melayu Teluk Belanga yang dilengkapi Songkok dan Sampin untuk lelaki.

Rekaan tersebut tampak klasik dan eksklusif menerusi warna hijau zaitun dengan motif keemasan, sekali gus menyerlahkan penampilan si pemakai pada acara temasya sukan yang bakal menjadi tumpuan dunia itu nanti.

Menurut Rizman, The Malaya adalah cetusan ilham yang sangat istimewa yang lahir dari lubuk hati mereka berdua sebagai pereka tempatan yang sentiasa mendukung nama Malaysia dalam setiap langkah perjalanan dalam pemperjuangan rekaan fesyen di tanah air dan merentasi sempadan negara.



Menjelaskan tentang ilham untuk rekaan tersebut, pereka fesyen berbakat itu berkata, setiap elemen yang ditampilkan dalam koleksi tersebut mempunyai makna dan simbolik yang tersendiri.

"Kami menambah maniskan lagi gaya sopan itu dengan padanan kerubung yang begitu sinonim dengan wanita Malaya. Baju Teluk Belanga pula dipilih sebagai tanda junjungan kasih kami buat Yang DiPertuan Agong Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor. 

"Kami memilih warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi satu aura klasik. Malah di bawah pantulan cahaya, ia akan memancarkan kesan keemasan, simbolik harapan untuk atlet kita membawa pingat emas untuk Malaysia.

"Skaf yang kami cipta mewakili semangat patriotik sebagai rakyat Malaysia. Tudung ini ditaburkan dengan corak nukilan khas tentang Malaysia seperti tarikh kemerdekaan negera dan lain-lain," ujarnya.

Dedikasi

Tambahnya lagi, Rizman Ruzaini juga meletakkan nilai atlet negara pada kedudukan tertinggi, setinggi perjuangan mereka untuk membawa puang pingat emas.

"Kami persembahkan cetakan motif songket ke atas busana sebagai pengiktirafan kami buat mereka. Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-tumurun.

"Kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket menggambarkan pangkat dan kedudukan golongan bangsawan," jelas Rizman.



Koleksi The Malaya juga adalah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharajalela Dol Said, Yamtuan Amrah, Tuk Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tunku Abdul Rahman.

Sementara itu, Ruzaini pula yakin tranformasi itu akan menjadi kenangan manis untuk barisan atlet dan juga mereka berdua sebagai perekanya.

"Koleksi ini bagaikan melihat sebutir berlian yang digilap berkilau dan kemudiannya diikat dengan emas dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna.

"Bayangkan atlet kita yang mempunyai sosok tubuh tegap, menggayakan busana tradisional yang sopan dan klasik ini. Pasti ramai akan terpaku," katanya.

Koleksi tersebut pantas tular di platform media sosial apabila dikongsikan pelbagai pihak di mana rata-ratanya memberikan respon yang cukup positif.

Malah ramai yang tidak sabar menantikan acara gemilang pembukaan Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Sungai Seine, Paris itu.

Untuk edisi kali ini, seramai 26 atlet akan mewakili negara menerusi penyertaan dalam sembilan jenis sukan iaitu badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), akuatik (terjun dan renang), pelayaran, menembak, angkat berat, golf, memanah dan olahraga. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:
[KREDIT FOTO: Instagram Rizman Ruzaini]

Post a Comment

0 Comments