Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Nama digugurkan, Bella Hadid bakal saman Adidas


SUPERMODEL tersohor, Bella Hadid dilaporkan bakal menyaman syarikat jenama pakaian sukan Adidas kerana menggugurkan namanya daripada kempen keluaran terbaharu kasut retro berinspirasi Sukan Olimpik Munich 1972.

Tindakan itu dilakukan Bella atau nama lengkapnya Isabella Khair Hadid, selepas syarikat gergasi pakaian sukan yang berpangkalan di Jerman itu dipercayai mengaitkan dirinya yang berketurunan Palestin itu dengan peritiwa pembunuhan 11 atlet Israel di Sukan Olimpik Munich sehingga membawa kepada penggugurannya daripada kempen terbaharu itu.

Adidas baru-baru ini telah melancarkan semula SL72, yang pertama kali dipamerkan oleh atlet pada Olimpik Munich 1972, sebagai sebahagian daripada siri menghidupkan semula siri kasut klasik lama.

Bagaimanapun penampilan Bella yang memakai kasut retro Adidas dalam iklan terbaharu kempen itu menimbulkan bantahan dan kritikan dalam kalangan kumpulan pro-Israel. 

Malah beberapa pihak berpengaruh dari Israel turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyertaan supermodel kelahiran Amerika Syarikat itu dalam kempen kasut yang berkait sejarah hitam rakyat negara mereka.

Susulan itu, Adidas dikatakan telah menarik balik iklan tersebut dan mengugurkan Bella, selain memaklumkan akan menyemak semula baki kempen. Pun begitu syarikat tersebut turut memohon maaf kepada bintang berusia 27 tahun itu.

"Kaitan ini tidak dimaksudkan dan kami memohon maaf atas sebarang kekecewaan atau kesusahan yang disebabkan oleh komuniti di seluruh dunia. Kami melakukan kesalahan yang tidak disengajakan.

"Kami juga memohon maaf kepada rakan kongsi, Bella Hadid, ASAP Nast, Jules Kounde dan lain-lain atas sebarang kesan negatif terhadap mereka dan kami sedang menyemak semula kempen itu," ujarnya.

Memetik laporan US WEEKLY, Bella bagaimanapun telah mengupah sepasukan peguam untuk  mengambil tindakan undang-undang terhadap Adidas atas kekurangan akauntabiliti awam mereka dalam menerbitkan kempen yang akan mengaitkan sesiapa dengan kematian serta keganasan yang berlaku semasa Sukan Olimpik Munich 1972.

Bella menyatakan rasa kecewa terhadap Adidas kerana mereka merujuk Olimpik 1972 tanpa mengiktiraf konteks sejarah terlebih dahulu.

Mengimbas sejarah lalu, Sukan Olimpik Munich 1972 dibayangi kematian 11 atlet Israel termasuk seorang anggota polis Jerman selepas lelaki bersenjata daripada kumpulan Black September Palestin menceroboh perkampungan Olimpik dan menjadikan mereka tebusan.

Sebelum ini, Bella juga cukup lantang menyuarakan sokongannya terhadap hak Palestin berikutan Israel melancarkan serangan balas menyasarkan orang awam terutama wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober lalu.

Kesal dengan apa yang berlaku, rata-rata netizen menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Bella dan mengecam Adidas kerana bersikap tidak profesional dengan menggugurkan model itu, selain tidak teragak-agak untuk memboikot jenama pakaian sukan itu. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments