Oleh: AILEEN ADAM
BINTANG K-Pop sensasi, Jennie sekali lagi menjadi perdebatan umum susulan tersebarnya potongan video yang memaparkan anggota kumpulan Blackpink itu menghisap rokok eletronik atau vape di dalam bangunan yang lazimnya menjadi kawasan larangan.
Klip tular tersebut diambil daripada hantaran vlog terbaru Jennie, 28, ketika berada di Capri, Italy untuk acara Jacquemus's La Casa Cruise Show, yang dimuat naik di laman YouTube miliknya hampir seminggu lalu.
Biarpun klip yang mengundang kontroversi itu telah dipadam daripada vlog terbabit, tetapi bahagian asalnya sudah terlebih dahulu tersebar di alam maya dan menjadi perdebatan umum.
Tindakan Jennie menghisap vape dan menghembuskan asap dalam ruang tertutup ketika dikelilingi beberapa individu lain iaitu jurumekap dan pendandan rambutnya yang sedang bekerja menyiapkan dirinya mengundang kecaman ramai.
Tidak hanya kecaman, tetapi ada pihak yang turut memanjangkan isu terbabit dengan membuat laporan dan desakan kepada Kementerian Luar Korea Selatan dan Kedutaan Korea Selatan di Itali agar mengambil tindakan tegas ke atas selebriti popular itu.
Terbaru, media tempatan melaporkan pihak Kementerian Luar Korea Selatan juga telah mengesahkan bahawa pihaknya menerima petisyen berkaitan insiden berkenaan.
Pun begitu, Jennie menerusi wakil agensi pengurusannya, Odd Atelier Entertainment pada Selasa (9 Julai) tampil memohon maaf dengan apa yang berlaku dan berjanji akan lebih berhati-hati agar kesilapan serupa tidak berulang pada masa akan datang.
"Hello. Ini adalah OA Entertainment. Kami memohon maaf kepada semua orang yang berasa tidak selesa dengan tindakan Jennie dalam kandungan yang dikeluarkan pada 2 Julai lalu.
"Jennie mengakui dan amat menyesali kesilapannya vape di kawasan dalam bangunan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada kakitangan. Jennie secara peribadi telah meminta maaf kepada semua kakitangan di lokasi yang mungkin terkesan.
"Kami memohon maaf kepada peminat yang kecewa dengan kejadian ini. Kami berharap dapat mengelakkan perkara ini daripada berulang lagi pada masa hadapan. Terima kasih," ujarnya dalam satu kenyataan.
Pengurusan tidak profesional
Namun ramai peminat kecewa dengan insiden berkenaan kerana klip terbabit diperoleh daripada sumber YouTube rasmi pelantun lagu You & Me itu sendiri dan bukan daripada sumber luar.
Tidak kurang yang mempersoalkan bagaimana ia boleh terlepas pandang oleh pihak pengurusan bintang versatile itu yang mana mereka sepatutnya lebih peka dan berperanan melindungi Jennie daripada terpalit kontroversi sebegitu.
Antara teguran yang diberikan kepada pihak pengurusan Jennie menerusi komen di media sosial. |
Ramai juga yang mendakwa Odd Atelier gagal menjalankan peranan mereka dengan baik sebagaimana sepatutnya apabila dilihat bersambil lewa dalam banyak perkara.
Malah tindakan berdiam diri dan hanya memberikan respons atau kenyataaan selepas tiga hari insiden tersebut berlaku dilihat sebagai sikap tidak profesional serta menyumbang vibes negatif kepada penyanyi itu.
Bukan sahaja melibatkan kontroversi terbabit, tetapi peminat turut mengungkit cara kerja Odd Atelier yang tidak efisyen dalam menguruskan dan mengemas kini segala aktiviti Jennie kepada umum.
Antaranya seperti beberapa pencapaian terbaharu Jennie termasuk kejayaannya sebagai solois wanita pertama yang mencapai 1 billion view menerusi lagu Solo tidak mendapat hebahan rasmi daripada agensinya sendiri baik menerusi kenyataan media, mahupun pengumuman di platform media sosial.
Justeru pencapaian tersebut tidak banyak diperkatakan atau mendapat sorotan media dalam bentuk artikel sebagaimana sepatutnya.
Ramai turut bersetuju dengan dakwaan tersebut dengan mengatakan kebanyakan aktiviti solo melibatkan Jennie lebih banyak diketahui daripada sumber atau pihak ketiga dan ia amat mengecewakan.
Teguran
Ketepikan soal 'haters' Jennie, tetapi banyak teguran positif dan membina yang diberikan pelbagai pihak harus diambil kira pihak pengurusannya agar perjalanan kerjaya seni bintang berbakat itu selepas ini berjalan lebih lancar.
Apatah lagi menjelang pelancaran debut album solonya yang kini dalam persiapan akhir selepas lebih enam tahun peminat menunggu. Ia juga merupakan projek pertama Jennie di bawah pengurusan agensi itu selepas tidak lagi memperbaharui kontrak aktiviti solo bersama YG Entertainment.
Apa pun, ramai percaya Jennie dan Odd Atelier akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan menjadikan apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran untuk menambah baik pengurusan pada masa akan datang.
Difahamkan Jennie kini berada di Amerika Syarikat berkaitan urusan pembikinan albumnya yang bakal menemui peminat tidak lama lagi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments