Hafiz yang juga dikenali komposer popular itu kali ini menampilkan single ciptaannya berjudul Zamzam, sebuah lagu yang menyelami tema keimanan, kesetiaan dan pengabdian kepada agama.
Karya tersebut mengambil inspirasi kepentingan sejarah dan agama daripada kisah telaga Zamzam, sumber air suci dalam Islam di Mekah.
Umat Islam meyakini bahawa telaga itu dicipta secara ajaib oleh Allah SWT untuk memberi air kepada salah seorang isteri Nabi Ibrahim A.S. iaitu Siti Hajar dan anaknya Ismail di padang pasir yang tandus, sebuah kisah yang melambangkan kepercayaan kepada rezeki Allah dan kuasa iman.
Lebih istmewa, lirik lagu Zamzam ditulis Ito Lara secara puitis menceritakan kisah abadi Siti Hajar dan Nabi Ibrahim dalam perjalanan mereka yang penuh keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Perjalanan Emosi
Menurut Hafiz, lagu tersebut membuka gambaran hidup kisah para jemaah, yang bermula dari Safa.
"Ketika kaki para jemaah menyentuh tanah suci, kenangan tentang kesetiaan Siti Hajar dan cinta kepada suaminya, Ibrahim, muncul dan mengingatkan, tentang pengabdian akhirnya kepada kehendak Allah.
"Lagu ini juga menggambarkan perjalanan penuh emosi mendaki bukit-bukit Marwah, yang mencerminkan pencarian tanpa henti Hajar dalam menemui air untuk memuaskan dahaga anaknya Ismail.
"Kelegaan air Zamzam yang sejuk, yang akhirnya ditemui oleh Hajar, digambarkan sebagai penawar fizikal dan ketenangan rohani mendalam yang meresapi jiwa pendengar," jelasnya.
Tambahnya lagi, korus Zamzam adalah simbol yang kuat sepanjang lagu itu. Ia adalah bukti kesetiaan Hajar, kesediaannya ditinggalkan sendirian di padang pasir yang luas, dan imannya yang akhirnya berserah kepada rezeki Allah.
"Pengulangan 'Zamzam' dalam lagu mencerminkan putaran ulangan proses sa'i antara Safa dan Marwah, yang juga melambangkan pencarian iman serta petunjuk Ilahi yang berterusan.
"Lagu ini juga menyentuh sifat abadi air Zamzam, menggambarkannya sebagai sumber Ilahi yang tak berkesudahan dan terus mengalir dari syurga.
"Imej ini menguatkan gagasan bahawa iman sejati dan berkat syurga adalah abadi serta tiada Batasan," katanya.
Sentuhan Kontemporari
Setiap bait lirik yang ditulis dalam karya ini mempunyai pengertian yang cukup mendalam, apatah lagi dengan alunan melodi indah menusuk jiwa.
Karya terbaharu Hafiz Hamidun itu adalah perpaduan sebati antara lirik yang menyentuh perasaan serta melodi penuh jiwa yang mengungkap intipati perjalanan keimanan ini.
Interpretasi muziknya memberikan sentuhan kontemporari pada sebuah kisah dari masa lalu, sekali gus menjadikannya bukan hanya peristiwa bersejarah tetapi juga ilham hidup yang dapat dicapai dan dirasai pendengar masa kini.
Secara keseluruhan, Zamzam lebih daripada sekadar sebuah lagu. Ia adalah perjalanan keimanan yang mengundang pendengar untuk merenungkan iman mereka dan kebajikan abadi seperti kesetiaan, ketaatan, dan kepercayaan pada Ilahi.
Hafiz berjaya menyulam kisah yang melampaui waktu, di samping menceritakan pengalaman mendalam dan membangkitkan semangat melalui kekuatan muzik.
Dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai lalu, Zamzam kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN
- notifikasi-istimewa-pearl-abdul-buat
- enigma-cinta-tragis-dua-darjat-bob-yusof
- laila-jadi-taruhan-dukes-mahu-pikat
[FOTO: Sony Music Entertainment Malaysia - Terima Kasih Joe Saiful]
0 Comments