Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Bila menghayati lagu-lagu lama, barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu" - Aishah rakam semula lagu Di Pinggir Kayangan


MERAKAMKAN semula lagu-lagu lama yang pernah dipopularkan oleh artis legenda adalah salah satu bentuk pendekatan untuk mengharghai muzik dan penyanyi asalnya.

Ini kerana lagu-lagu lama mempunyai irama unik yang tidak lapuk ditelan zaman dan merentasi generasi. Apatah lagi selepas diberi nafas baharu, semakin ramai generasi masa kini dapat turut menikmati dan menghargai karya-karya emas itu.

Namun begitu, ia bukanlah satu tugas mudah dan hanya penyanyi hebat serta berbakat sahaja yang mampu menghidupkan semula karya-karya tersebut.

Terbaru penyanyi bervokal lantang, Datuk Aishah tampil dengan pendekatan sama dengan membuat rakaman semula dan memberi nafas baharu kepada lagu Di Pinggir Kayangan yang pernah dinyanyikan oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

Menurut Aishah, rasa kagumnya terhadap bakat dan kehebatan Allahyarham Sharifah Aini membawa kepada tercetusnya idea merakam semula lagu yang mmepunyai lenggok kemelayuan yang merdu itu.

“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah.

“Di Pinggir Kayangan adalah sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” ujarnya.

Nota Lebih Tinggi

Mengulas tentang pendekatan yang diambil untuk rakaman semula lagu itu, juara Gegar Vaganza musim keempat itu berkata, hasratnya adalah ntuk melihat anak-anak muda masa kini mengenali lagu-lagu lama yang bagus.



“Lagu-lagu seperti Di Pinggir Kayangan kini adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baharu. Ia begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya.

“Namun semestinya lagu ini kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza daripada suara penyanyi asal.

"Malah lagu ini juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” jelasnya.

Berkongsi harapannya untuk projek terbaharunya itu, Aishah berhasrat melihat lagu versi gubahan semula oleh Mas Dewangga itu diterima baik peminat dan penggemar muzik tanah air.

“Semoga lagu-lagu seperti Di Pinggir Kayangan ini akan mendapat tempat dalam kalangan para pendengar muda dan sudah tentunya pendengar yang lebih senior juga.

"Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” akhirinya.

Di Pinggir Kayangan sudahpun dilancarkan pada 19 Julai lalu dan boleh dimuat turun di iTunes serta dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: Sony Music Malaysia - Terima Kasih Joe Saiful]



VIDEO PILIHAN

Post a Comment

0 Comments