Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tiada agensi sendiri, Rosé pilih bekerjasama dengan The Black Label


Oleh: AILEEN ADAM

JIKA Jennie, Jisoo dan Lisa menubuhkan agensi sendiri untuk menguruskan kerjaya solo mereka, Rosé pula mengambil pendekatan sebaliknya apabila memilih bernaung di bawah pengurusan The Black Label.

Agensi terbabit adalah milik Teddy Park (komposer dan produser di YG Entertainment) yang sebelum ini cukup sinonim dalam pembikinan muzik Blackpink, dalam diam rupa-rupanya menyimpan hasrat tinggi untuk terus berkolaborasi dan menguruskan kerjaya solo bintang degan bakat luar biasa itu.

Wakil label berkenaan dalam satu kenyataan pada Isnin, mengesahkan Rosé atau nama sebenarnya, Park Chae Yong, telah menandatangani kontrak pengurusan bersama mereka.

"Kami telah menandatangani kontrak pengurusan dengan artis Rosé. Kerjasama ini berdasarkan kepercayaan mendalam yang dibina oleh Rosé dan Teddy selama ini, sebagai artis dengan penerbit.

"Rosé kini sedang bersedia untuk bertemu peminat global dengan muzik baharu dan akan terlibat dalam aktiviti muzik di seluruh dunia dengan label global.

"Nantikan sinergi terbaik daripada Rosé yang memiliki wanrna muzik unik dan The Black Label akan menyokong dan memberi kebebasan kepada artis kami untuk berkarya dengan kreatif,” ujar kenyataan itu.

Reaksi peminat

Berita itu pantas menarik perhatian umum dan menjadi bualan hangat dalam kalangan para peminat pelantun lagu Gone dan On The Ground itu.

Masing-masing memberikan reaksi pelbagai di mana ada yang menerima berita itu dengan positif dan tidak kurang yang memberikan pendapat sebaliknya.

Ada sesetengah peminat yang kecewa apabila Rosé tidak mengikuti jejak langkah rakan-rakannya dalam Blackpink yang menubuhkan agensi sendiri setelah tidak memperbaharui kontrak solo mereka bersama YG Entertainment.

Terdahulu Jennie melancarkan agensi miliknya yang dikenali sebagai Odd Atelier pada penghujung tahun lalu, diikuti Lisa dengan LLoud dan Jisoo menerusi Blissoo yang kesemuanya bertujuan menguruskan aktiviti solo mereka.

Justeru ada segelintir peminat yang menganggap bintang berusia 27 tahun itu seolah-seolah tidak melakukan sebarang kemajuan apabila memilih untuk bersama The Black Label yang dilihat sinonim dengan agensi mereka sebelum ini.


Hakikatnya, Rosé tahu apa yang dilakukannya dan pasti mempunyai perancangan tersendiri dalam mencorak masa depan karier muziknya.

Apatah lagi, sejak dulu penyanyi asal Austaralia itu sering mengatakan dia sangat mencintai muzik dan tumpuannya adalah seratus-peratus pada bidang itu.

Pendekatan berbeza

Semestinya Rosé juga mempunyai kemampuan dalam segala aspek untuk menubuhkan agensi sendiri, tetapi mungkin dia tidak mahu fokusnya berbagi kepada keperluan dan tuntutan lain, berbanding muzik.

Jadi tidak salah jika bintang bersuara emas itu mengambil pendekatan berbeza daripada rakan-rakannya yang lain dalam usaha mengejar impian sendiri.

Mungkin sedar tentang perdebatan hangat yang tercetus dalam kalangan peminatnya, Rosé turut membuat satu kenyataan yang bersifat luahan panjang menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya pada Selasa.

"Maaf kerana membuat anda menunggu lama. Saya tahu sesetengah daripada anda sangat tidak sabar untuk mendengar perkembangan daripada saya ketika ini.

"Saya secara peribadi tidak mahu bercakap atau mengumumkan apa-apa pun sebelum saya menyelaraskan segala-galanya berkenaan muzik saya yang akan rilis nanti.

"Dalam bahasa mudah, apa sahaja yang saya katakan, saya mahu bersedia menyokongnya dengan beberapa perkara yang hebat," ungkapnya.

Tambah Rosé lagi, sebelum ini semua perkara berkaitan kerjayanya diuruskan agensi dan segalanya tersedia tanpa perlu melakukan sendiri. Jadi dia memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menyesuaikan diri apabila perlu melakukan segalanya sendiri.

"Seperti yang anda semua tahu, saya datang dari tempat di mana semuanya tersedia untuk saya, berbanding apa yang saya lakukan dengan sendiri.

"Jadi tentunya saya memerlukan sedikit masa untuk belajar, memahami, meragui, percaya dengan diri saya dan orang lain berkali-kali demi menjadi orang yang paling bertanggungjawab kepada diri sendiri.

"Sejujurnya saya berharap agar mempunyai tambahan empat tahun lagi dalam usia dua puluhan supaya saya boleh belajar semua itu," luahnya.

Rosé banyak menghabiskan masa di studio menyiapkan projek muzik terbaharunya.


Dalam perkongsian sama, penyanyi tinggi lampai itu juga berkata, dia tidak mahu hanya bercakap kosong atau menabur janji tanpa memulakan langkah terlebih dahulu.

"Anda semua mungkin tahu saya tidak suka mengatakan bahawa saya mempunyai sesuatu, sebelum saya benar-benar melakukannya. Bagi saya, tidak ada yang lebih penting daripada menyampaikan kepada anda, apa yang saya sangat sukai, iaitu muzik.

"Bermula penghujung tahun lalu dan sepanjang tahun ini, saya telah keluar masuk studio hampir setiap hari, mengerjakan muzik baharu.

"Ini adalah tahun untuk merangka rencana dan navigasi ke tempat yang saya mahu dan apa yang saya ingin lakukan pada masa hadapan.

"Sudah berbulan-bulan saya belajar untuk menjadi seorang yang berdikari," katanya jujur.

Memilih The Black Label

Tidak hanya itu, Rosé turut mengesahkan penyertaan dan kontrak pengurusan aktiviti solonya bersama The Black Label, sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi yang bertebaran mengenai status pengurusan baharunya itu.

"Akhirnya, saya gembira untuk mengumumkan bahawa saya secara rasmi bekerjasama dengan The Black Label sebagai pengurusan muzik yang akan menyokong dan menguruskan segala aktiviti berkaitan, sekali gus membantu saya mencapai impian.

"Saya juga mempunyai beberapa pengumuman lain yang sangat menarik tidak lama lagi. Saya harap anda akan teruja dan menyukainya.

"Saya tahu anda mempunyai banyak soalan tetapi ini hanyalah kepingan 'puzzle' pertama yang akan membawa kepada hal yang lebih besar dan menarik selepas ini," akhirinya yang sentiasa mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat dan penggemar muzik. 

Sementara itu, segala aktiviti seni Rosé, Jennie, Jisoo dan Lisa secara berkumpulan atas nama Blackpink, masih lagi diuruskan oleh agensi lama, YG Entertainment. - 7KLIK  


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments