Oleh: JEBAT ISKANDAR
SAYA pernah jadi cikgu. Ketiga-tiga adik lelaki saya juga kerjaya sebagai guru. Lebih asyiknya novel Memoir Seorang Guru ini adalah antara novel yang wajib saya baca ketika di sekolah menengah dulu.
Nyatanya cerita pengorbanan, perjuangan serta asam garam Memoir Seorang Guru begitu dekat dengan diri saya. Apatah lagi saya juga pelajar yang menjadi 'manusia' kerana didikan guru.
Usai tonton Memoir Seorang Guru, apa yang saya rasa dan tidak terhadap filem ini? Secara peribadi ia tidak jauh beza dengan cerita genre sebegini yang biasa kita tonton di TV, mahupun di pawagam. Baik dari Hollywood, Bollywood, Korea, Indonoesia dan seumpamanya tema sebegini bukan sesuatu yang luar biasa untuk dihadam.
Pun begitu untuk meraikan perjuangan dan kasih sayang antara guru dan pelajarnya, Memoir Seorang Guru filem wajib tonton untuk kita semua. Tanpa guru siapalah kita hari ini, bukan?
Meletakkan Datuk Rosyam Nor selaku Cikgu Sunan sebagai teraju utama mungkin pilihan pihak produksi. Namun bagi saya Rosyam Nor sudah terbiasa dengan lakonan emosi begitu. Jadi apa lagi persembahan yang dia mampu tampilkan?
Saya sedikit terganggu dengan watak Cikgu Sunan ketika berpindah sekolah, dengan Cikgu Sunan setelah tua. Tiada banyak beza melainkan penambahan misai janggut dan uban. Sewajarnya watak muda atau tua itu dilakonkan oleh pelakon lain untuk memberikan emosi dan kesan visual yang lebih. Ini kesan yang buat saya tidak mampu ‘serasi’ dengan memoir Cikgu Sunan.
Suasana kampung yang damai, tenang dan semulajadi tidak divisual sebaik mungkin. Alangkah indahnya jika senario kehidupan masyarakat kampung dipaparkan dengan lebih sempurna.
Mungkin saya terbawa dengan kerja kamera drama atau filem Korea dan Bollywood maka saya mencari sisi ini di filem Memoir Seorang Guru.
Apa yang paling mengganggu adalah lagu latarnya yang kedengaran bingit. Filem emosi sebegini perlu lagu seperti Hasrat (Imaginur) atau Dawai (Air Mata Di Ujung Sajadah). Rasa itu akan lebih sampai.
Untuk sebuah filem yang diadaptasi daripada novel, ia lebih baik berbanding sebuah lagi karya Sasterawan Negara yang dibikin sebelum ini.
Memoir Seorang Guru, rasanya ada, tapi untuk masuk ke dalam sanubari, saya tidak pasti. Mungkin orang lain menonton akan menangis tapi tidak untuk saya. Cuma saya puji lakonan selamba murid-murid serta tiga pelakon kanak-kanak tersebut. Mereka berjaya membuat saya ketawa tanpa sedar.
Memoir Seorang Guru mula ditayangkan sejak 30 Mei lalu. Nasihat saya, tontonlah kerana ini filem tentang kita dan guru. Tidak rugi memberi sokongan pada filem ini walaupun ada hal yang perlu dipersoalkan terutama aspek komersilnya.
Tidak mengapalah kan, agenda hidup guru bukan ingin membina glamour atau komersil, namun demi anak bangsa dan negara keutamaannya. 3/5 bintang untuk Memoir Seorang Guru.
Tahniah kepada semua kerana berani memberikan rasa kepada kita semua untuk mengenang kembali jasa guru dan memori kita di alam persekolahan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
MEMOIR SEORANG GURU
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: P12
Genre: Drama
Durasi: 2 Jam
Pengarah: Kyoll Hamzah
Pelakon: Datuk Rosyam Nor, Nabila Huda, Johan As'ari, Trisha Ooi, Hariz Hamdan, Zul Huzaimy, Jesse Lim, Ellie Suriati
Edaran: Empire Film Solution
Tarikh Tayangan: 30 Mei 2024
Bintang: 3/5
1 Comments
plot agak berkecamuk, tidak plot kemuncak. agak latar. tidak fokus pada aktor, banyak sosok dipaparkan.
ReplyDelete