Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Ketakutan senyap dalam A Quiet Place: Day One


SUKSES dengan dua siri filem terdahulu iaitu A Quiet Place yang diterbitkan pada 2018 dan A Quiet Place Part II (2020), naskhah saga itu kini kembali dengan sebuah lagi pengkisahan menegangkan menerusi A Quiet Place: Day One.

Menariknya, naskhah baharu yang mula memasuki pawagam pada 27 Jun lalu itu ditampilkan sebagai kisah prekuel sekali gus spin-off daripada filem pertama.

Tidak hanya itu, prekuel ini bukan lagi diarahkan John Krasinski sebagaimana dua filem terdahulu, tetapi telah diambil alih oleh Michael Sarnoski. Krasinski kali ini mengisi posisi sebagai penerbit.

A Quiet Place: Day One membawa penonton kembali ke dunia penuh keheningan yang menegangkan. Ia bermula pada hari pertama, makhluk asing yang tidak diketahui ciri dan asal-usulnya menyerang bumi menerusi bandar paling sibuk, New York.

Secara ringkasnya ia menceritakan tentang Samira atau Sam, seorang pesakit kanser dan bekas penyair yang sedang menjalani hari-hari akhirnya di pusat penjagaan khas di sebuah hospital dibawa oleh jururawatnya, Reuben untuk keluar menonton sebuah persembahan seni bersama beberapa pesakit lain.

Sam bersetuju bukan kerana mahu menonton persembahan tersebut, tetapi tertarik dengan janji Reuben yang mahu membawanya makan pizza selepas menonton. Bagaimanapun situasi tidak terduga berlaku, apabila kota paling sibuk itu menjadi kacau bilau apabila tiba-tiba diserang mahkhluk asing yang sensitif pada bunyi.

Kebisingan kota segera bertukar menjadi hening, sunyi dan menegangkan dalam usaha masing-masing termasuk Sam dan kucingnya, Frodo untuk menyelamatkan diri, sebelum bertemu Eric yang turut berdepan kesulitan serupa.

Dengan semangat yang luar biasa, Sam berjuang untuk bertahan hidup demi keinginannya mendapatkan sepotong pizza yang disifatkan sebagai simbol memori indah bersama bapanya ketika kecil sebelum dia meninggal dunia.


Perjalanan ceritanya sangat mudah difahami meski filem ini membawa plot dan karakter baharu, sekali gus berbeza berbanding dua filem terdahulu.

Banyak kejutan menarik terhasil dalam naskhah perekuel ini, selain elemen jumpscare yang berjaya menggugat ketenteraman penonton ketika fokus kepada penceritaan yang berjalan dalam senyap sunyi itu.

Jika dalam filem sebelum ini kekacauan itu berlaku di kawasan luar bandar dan terpencil, kali ini ia berlaku betul-betul di tengah kota paling sibuk yang tentunya penuh dengan kebisingan.

Jadi bayangkan bagaimana ratusan makhluk asing yang dikenal pasti sangat sensitif pada bunyi itu membuat amukan dengan membunuh umat manusia tanpa belas hanya kerana menghasilkan bunyi.

Terdapat beberapa adegan menarik yang memaparkan bagaimana serangan kitu dilakukan sehingga debaran mendominasi tontonan. Penggunaan teknik CGI yang baik tentunya menjadi antara kelebihan filem ini di mana ia telah mewujudkan rasa percaya terhadap apa yang dipertonton.


Lebih daripada itu, lakonan mantap yang diberikan oleh dua teraju utamanya, Lupita Nyong'o dan Joseph Quinn wajar diberi pujian. Meski tidak banyak dialog yang ditutur, tetapi karakter mereka dihidupkan dengan begitu berkesan dan meninggalkan impak yang dalam pada penceritaan.

Tidak dilupakan sang kucing bernama Frodo yang sangat mencuti perhatian di celah-celah dominasi teraju utamanya. Malah haiwan comel itu juga diberikan banyak screen time pada situasi yang tepat.

Pun begitu, tidak dinafikan A Quiet Place: Day One mempunyai beberapa kelemahan, sekali gus membuat ruang perbandingan dengan naskhah terdahulu yang dikatakan jauh lebih memberi impak.

Banyak hal yang tidak dijelaskan dengan baik dalam naskhah prekuel ini sehingga menyebabkan jalan ceritanya terlihat sedikit longgar, selain menimbulkan banyak persoalan daripada penonton.

Malah boleh dikatakan tiada babak klimaks yang benar-benar membahana adrenalin penonton. Amukannya hanya sama sejak awal sehingga akhir cerita, malah tiada ketegangan berimpak yang dilalui dua karakter utamanya.

Ia hanya terlihat sebagai ketakutan biasa, sekali gus membolehkan mereka bergerak dan berjalan dalam keadaan tenang sementara mencari solusi mendapatkan pizza mahupun menyelamatkan diri.

Situasi itu mungkin menimbulkan sedikit rasa bosan, apatah lagi dalam suasana senyap sunyi. Tahu-tahu sahaja ceritanya sudah berada di penghujung biarpun banyak persoalan tidak terjawab.

Bagaimanapun A Quiet Place: Day One masih menghiburkan untuk ditonton, terutamanya pada mereka yang meminati genre ini. Jangan ketinggalan menonton naskhah prekuel ini di pawagam berdekatan.

ARTIKEL LAIN:


5 Trivia Menarik

1. A Quiet Place: Day One menelan bajet sebesar USD67 juta iaitu paling tinggi berbanding dua filem terdahalu.

2. Naskhah kali ini merupakan kisah prekuel daripada filem pertamanya yang diterbitkan pada 2018.

3. John Krasinski yang sebelum ini menjadi pengarah untuk dua naskhah terdahulu kini bertindak sebagai penerbit, manakala tugas pengarah digantikan oleh Michael Sarnoski.

4. Bagaimanapun, Michael Sarnoski bukan nama pertama yang dicalonkan untuk menggarap A Quiet Place: Day One, tetapi terlebih dahulu dimulakn oleh Jeff Nichols, sebelum pengarah itu menarik diri atas sebab perbezaan visi kreatif.

5. Filem ini tidak lagi dibintangi John Krasinski dan Emily Blunt sebagai teraju utama, sebalikya menampilkan wajah-wajah baharu yag terdiri daripada Lupita Nyong'o dan Joseph Quinn. - 7KLIK

[KREDIT FOTO: United International Pictures]



A QUIET PLACE: DAY ONE
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P12
Genre: Seram/Thriller
Durasi: 1 jam 39 minit
Pengarah: Michael Sarnoski   
Pelakon: Lupita Nyong'o, Joseph Quinn, Alex Wolff, Djimon Hounsou
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 27 Jun 2024
Bintang: 6/10 

Post a Comment

0 Comments