GRAND Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios selaku pengedar dan rakan pemasaran, mempersembahkan filem komedi seram, Saka Perawan yang akan merasuk pawagam tempatan seluruh Malaysia bermula 27 Jun ini.
Filem arahan Dr. Ahmad Idham itu juga bakal ditayangkan di pawagam sekitar Brunei serentak dengan tarikh tayangan di Malaysia.
Saka Perawan yang menjalani penggambaran pada 2023 pastinya akan mengundang keterujaan penonton apabila filem berjaya menggabungkan barisan pelakon komedi lama dan baharu yang bakal mengubat kerinduan penonton filem komedi ringan, sesuai untuk keluarga.
Antaranya ialah Azlee Senario, Yassin Senario, Datuk Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nizam, Afieq Shazwan, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.
Naskhah itu mengisahkan tentang penyakit misteri dihadapi Nek Aminah yang berusia 80 tahun, lakonan Fauziah Nawi dan telah lama terlantar sakit. Situasi tersebut membuatkan anak dan cucunya menjadi bingung, apatah lagi doctor tidak mempunyai solusi akan penyakit misteri nenek tersebut.
Setiap kali melepasi waktu Maghrib, keadaan nenek semakin teruk dan seakan nazak, akan tetapi sebaik sahaja memasuki pukul 5 pagi, keadaannya kembali normal. Apakah sebenarnya yang berlaku? Dapatkan jawapannya di pawagam berdekatan mulai 27 Jun ini.
Mengulas mengenai filem itu, Dr. Ahmad Idham, berkata, ia adalah sebuah naskhah untuk mereka yang berani ketawa dalam ketakutan. Penonton bakal menyaksikan suntikan antara elemen seram yang mendebarkan dan komedi menggelikan hati serta sifat kemasyarakatan.
"Komedi seram adalah genre kegemaran saya. Jadi saya mengambil balik formula-formula seperti menggabungkan kumpulan pelawak dan artis bukan pelawak menerusi satu penceritaan seram dalam kelompok masyarakat Melayu di sebuah perkampungan tentang pembelaan entiti saka untuk diangkat menjadi filem.
"Selain gabungan elemen seram dan komedi yang baik, keunikan filem ini digerakkan oleh penceritaan itu sendiri di mana ia diambil melalui kritikan sosial yang amat dekat dengan masyarakat kini.
Tambahnya lagi, gandingan pelakon pula sangat penting agar penampilan mereka seimbang mengikut keperluan jalan cerita.
“Kehadiran barisan pelakon komedi legenda dan pelakon baharu banyak membantu menyeimbangkan dinamik watak-watak dalam filem ini. Secara tidak langsung sisi kelakar dalam setiap pelakon dapat dikeluarkan tanpa mereka sedari.
"Harapan saya dengan kehadiran barisan pelakon hebat tanah air, filem ini dapat diterima ramai sekali gus menarik penonton mahupun peminat-peminat barisan pelakon terlibat untuk menyaksikan Saka Perawan," akhirinya.
Tidak hanya itu, Saka Perawan juga menampilkan lagu runut bunyi dengan judul sama yang dinyanyikan oleh kumpulan Floor 88 dengan penampilan khas daripada Azlee dan Yassin Senario.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Zai Hamzah iaitu gitaris Floor 88 sendiri yang turut dikenali sebagai komposer dan penulis lirik berbakat besar.
Menurut Zai Hamzah, Saka Perawan berunsurkan lagu rakyat dan telah disiapkan dalam tempoh sebulan.
"Tercetusnya inspirasi bagi lagu dan liriknya adalah berdasarkan jalan cerita filem Saka Perawan itu sendiri.
"Mengenai nenek yang mempunyai dua pendamping dan sering bersenandung lagu ‘air pasang pagi’ setiap kali dia dalam keadaan normal.
"Kami mengharapkan peminat dan pendengar dapat menerima kolaborasi kami dengan bintang legenda Azlee dan Yassin daripada kumpulan Senario ini,” katanya.
Lagu runut bunyi Saka Perawan kini boleh dimuat turun di semua pelantar digital melalui platform seperti iTunes atau aplikasi penstriman seperti Spotify dan Apple Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments