Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Moh serbu Karnival Jom Heboh! di Dataran MITC, Ayer Keroh hujung minggu ini


SETELAH hampir lima tahun Karnival Jom Heboh (KJH) tidak menapak di Melaka, kini acara padang yang dinantikan ini akan kembali menakluk negeri bersejarah itu bersempena Tahun Melawat Melaka 2024.

Aktiviti-aktiviti yang disediakan kali ini pasti akan menghiburkan anda sekeluarga. Jangan lepaskan peluang anda dan moh ler kita ke Karnival Jom Heboh (KJH) Mana Lagi? Melaka Ler… yang akan diadakan di Dataran MITC Ayer Keroh bermula pada 28 Jun (Jumaat) hingga 30 Jun (Ahad) ini.

Acara tahunan yang dianjurkan oleh TV3 itu telah berlangsung penuh meriah dan sambutan luar biasa KJH edisi 2024 yang berturut-turut ketika menawan Sarawak dan Putrajaya pada bulan Januari dan Mei lalu berjaya mencatat kejayaan besar dengan mampu menarik lebih daripada 500,000 pengunjung yang hadir.

Bagi meneruskan kejayaan tersebut, Melaka telah dipilih sebagai lokasi ketiga siri jelajah untuk tahun ini.

Lebih istimewa, Kerajaan Negeri Melaka telah melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 bertemakan ‘Mana Lagi? Melaka Ler…’ yang semestinya akan memeriahkan lagi suasana karnival dengan kunjungan daripada masyarakat tempatan dan pelancong luar negara.

Sepanjang tiga hari ‘berkampung’ di Melaka, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memberikan hiburan serta kenangan kepada warga selatan.

Hadiah menarik turut disediakan menerusi reruai Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), Hot FM dan Kool 101.

Keseronokan berterusan apabila Studio Tonton Drama Sangat bakal menampilkan barisan selebriti yang membintangi program-program popular di Tonton, TV3 dan TV9.

Para pengunjung juga berpeluang bertemu dan meluangkan masa bersama selebriti-selebriti popular tempatan seperti Muaz Zabir, Bella Astillah, Isyariana, Afieq Shazwan, Shaza Bae, Fasha Sandha dan ramai lagi.

Bagi malam kedua dan ketiga (29 dan 30 Jun), warga kota Melaka akan dihiburkan dengan acara kemuncak, Konsert Jom Heboh yang akan dihoskan oleh Muaz Mohamed dan Aisha Mazlin.

Konsert pada hari Sabtu itu akan membariskan penyanyi hebat tanah air seperti Naqiu, Indah Ruhaila, Sufian Suhaimi, Puteri Khareeza, Zamani Slam dan Drama Band.

Sementara pada Ahad pula pengunjung akan dihiburkan oleh Rahmad Mega, Hael Husaini, Shiha Zikir, Ruffedge, Baby Shima dan Ara Johari.



Bersempena dengan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-40, TV3 juga akan menganjurkan satu inisiatif Program Khidmat Masyarakat (CSR) School Activation bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh, Melaka pada, 27 Jun 2024 (Khamis).

Pelajar sekolah berpeluang untuk belajar sambil berhibur dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan dan disertai oleh selebriti-selebriti tanah air dan wajah-wajah penyeri TV3 seperti Puteri Khareeza, Redza Rosli, Meerqeen, Irfan Ali, Fatin Hamimah, Amirul Hakim, Syafiq Adnan dan ramai lagi.

Bagi anda yang aktif bersukan ini merupakan peluang anda untuk merebut hadiah utama wang tunai sehingga RM1,800 beserta trofi dan medal menerusi Kejohanan Bola Jalanan Vocket ‘3v3’! 

Juara juga bakal membawa jersi edisi khas Vocket! Layari laman https://bolajalanan.thevocket.com/ atau imbas kod QR untuk mendaftar.

Sementara mereka yang ingin mengekspresikan bakat yang dimiliki sama ada dalam tarian, alat muzik dan nyanyian boleg sertai program Jom Lokal Jam yang akan berlangsung pada hari Jumaat (28 Jun) bermula pada pukul 9 malam di pentas utama KJH.

Tidak hanya itu, dalam usaha menghibur pihak TV3 turut sensitif dan mengambil berat susulan krisis kemanusiaan yang berlaku di dunia Palestin.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331. Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima akan digunakan untuk membiayai bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas.

Moh semua warga kota Melaka, jangan lepaskan peluang anda sekeluarga untuk berhibur di Karnival Jom Heboh! Mana Lagi? Melaka Ler… yang akan berlangsung pada 28 Jun hingga 30 Jun 2024 (Jumaat, Sabtu & Ahad) di Dataran MITC Ayer Keroh, Melaka bermula seawal 9 pagi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: TV3 - Terima Kasih Efendi Amir]

Post a Comment

0 Comments