TOURISM Selangor, agensi pelancongan rasmi Selangor sekali lagi membuktikan komitmen untuk memperkasa aktiviti seni dengan menganugerahkan geran kepada artis dan bakat tempatan.
Selaras dengan misi untuk menjadikan Selangor sebagai hab industri kreatif, enam artis telah dianugerahkan geran sebanyak RM10,000 setiap seorang dalam sebuah pertandingan bertemakan Reka Lestari, sejajar dengan konsep 'Circular Economy' oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Enam artis dan projek yang memenangi geran bagi tahun ini adalah Ahnaf Hakimi menerusi Wayang Robot, Syiborisyd dan Aruznadi (Scaling Up Scraps), Parti Design Awangan (Pagar 2Ï€), Jamil Zakaria (Arus), Cheng Yen Peng (Dung Beetle—A Participatory ‘Dirt’ Exploration) dan Khabir Roslan (The Light of All Things).
Projek-projek inovatif ini akan dipamerkan pada Festival Tukang yang akan datang, dikendalikan oleh Intan Rafiza Abu Bakar dari Balai Seni Lukis Negara.
Festival tersebut akan berlangsung di The Spine, PJKita di Petaling Jaya dari 5 hingga 9 Jun. Acara itu menandakan edisi kedua Festival Tukang dan dijangka akan menarik lebih 8,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Penganjuran Festival Tukang kali ini menjanjikan pelbagai aktiviti interaktif menarik, termasuk pameran inovatif, bengkel seni, perkongsian reka bentuk, bazar seni dan pop-up art serta persembahan muzik.
Ia bukan sahaja untuk bertujuan mempamerkan bakat luar biasa artis tempatan tetapi juga memberikan perkongsian mendalam tentang dunia seni dan kraf.
Tourism Selangor telah lama berada di barisan hadapan dalam mempromosikan tarikan pelancong yang kaya di negeri Selangor. Usaha agensi ini untuk membangunkan Selangor sebagai Hab Industri Kreatif adalah sejajar dengan kempen pelancongan domestik, 'Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!'.
Konsep inovatif yang dipersembahkan oleh artis tempatan berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancongan merangkumi fesyen, perabot, kraf kayu dan asimilasi elektronik.
Tukang - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama Rantai Art, akan menampilkan persembahan kumpulan muzik indie tempatan termasuk Daliliyana, Kingsley Chen, Lorita Nyepit, Ocean Astronaut dan Amir Alif.
Selain itu, festival itu juga akan melibatkan pelbagai vendor yang menawarkan makanan, kopi, makanan ringan, pastri, hasil seni dan kraf.
Orang ramai dijemput hadir ke Tukang - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 untuk berinteraksi dengan pereka bentuk dan bakat tempatan melalui sesi bengkel, ceramah dan bazar seni, semestinya menjanjikan pengalaman bermakna untuk semua pengunjung. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Tourism Selangor - Terima Kasih - Nor Farazura Aripin]
0 Comments