Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Hasif Upin temui cinta di Jakarta


KEJAYAAN lagu Waktu yang menyaksikan gandingannya bersama diva tersohor, Ziana Zain tentunya memberi suntikan semangat yang bukan sedikit kepada Hasif Upin untuk terus mengatur langkah.

Hasif atau nama sebenarnya, Muhamad Hasif Sharuddin, 33, mahu terus mengembangkan bakat nyanyiannya dengan penghasilan karya-karya baharu buat peminat.

Terbaru, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu muncul dengan single terkini berjudul Jakarta KL, yang menyaksikan kolaborasinya dengan penyanyi Adeline Margaret.

Karya sentuhan daripada Alam Urbach selaku komposer dan lirik oleh Pika Iskandar serta Alam Urbach itu mengisahkan tentang pasangan dari dua negara yang mempunyai latar belakang berbeza dan kemudiannya jatuh cinta dalam masa yang singkat.

“Alhamdulillah, sewaktu kali pertama bertemu dengan komposer dan penulis lirik Jakarta KL iaitu Alam Urbach, dan Pika Iskandar, semuanya berjalan lancar dan proses rakaman hanya mengambil masa satu hari sahaja.

"Sebelum bermulanya sesi rakaman, saya ambil sedikit masa dengan berimaginasi tentang percintaan untuk lagu ini dan menyesuaikan diri dengan mood lagu tersebut,” jelasnya.


Pun begitu, Hasif berkata, single baharunya itu tiada kaitan dengan kisah hidupnya dan ia hanyalah sekadar sebuah lagu yang mempunyai mesej untuk semua orang.

“Jarak dalam perhubungan bukanlah satu penghalang. Cinta antara dua negara yang disampaikan dalam lagu ini membawa mesej tentang keutuhan cinta dua insan yang ikhlas dalam menyulam kasih dan sayang walau di mana dan sejauh mana pun berada,” ujarnya.

Menyifatkan lagu tersebut sebagai istimewa, Hasif berkata, karya yang cenderung kepada genre Jazz itu satu kelainan buatnya.

"Ini juga merupakan genre muzik yang saya sendiri tidak pernah terfikir untuk buat. Sebenarnya, ia merupakan salah satu sisi lain yang ingin saya tonjolkan dalam diri saya kepada semua.

"Saya ingin menjadi seorang penyanyi yang versatil, berani untuk mencuba pelbagai jenis genre dan mahu membuktikan mampu untuk menghiburkan para pendengar muzik daripada pelbagai latar belakang," katanya yang berharap lagu itu diterima baik pendengar muzik Malaysia mahupun Indonesia.

Bercerita tentang penghasilan muzik video (MV) Jakarta KL, finalis Anugerah Juara Lagu ke-38 itu teruja apabila dapat menimba pengalaman baharu di Indonesia.

“Ketika dalam proses penghasilan video muzik, photoshoot dan rakaman lagu, saya terasa bagai dalam mimpi. Dari kecil memang teringin sangat nak rakam lagu dan muzik video di Indonesia.

"Saya teruja dapat menimba pengalaman merakamkan lagu di Indonesia. Malah saya juga kebetulan berjumpa dengan artis-artis Indonesia lain seperti Rossa dan Mahalini ketika rakaman dijalankan dalam studio sama dengan mereka di Jakarta," katanya.


Kehadiran lagu Jakarta KL hasil gabungan dari dua negara, Malaysia dan Indonesia itu diharapkan dapat memberi nafas baharu dalam industri muzik tempatan.

Karya terbitan Armani Entertainment Group itu kini boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox dan YouTube. Sementara Music dan muzik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube @ArmaniEntertainmentGroup. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Armani Entertainment Group]

Post a Comment

0 Comments