Meski tidak mudah, bekas juara Big Stage musim kedua itu tekad mengambil cabaran dan cuba memberikan yang terbaik untuk lagu Jodoh, karya ciptaan tiga komposer terkenal, Hazama, Omar K dan Firdaus Rahmat.
“Ketika pertama kali mendengar lagu ini, ia terus menangkap hati dan menarik perhatian saya. Pada mulanya saya tidak tahu siapa komposer atau penulis liriknya.
"Seusai habis rakaman, saya amat terkejut apabila mengetahui lagu ini merupakan hasil karya mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini," katanya.
Berkongsi proses rakaman single ketujuhnya di Malaysia itu, Han Byul berkata, cabaran paling sukar buat dirinya adalah ketika menyanyikan nada tinggi dalam lagu tersebut.
“Cabaran yang paling sukar dalam menyanyikan lagu ini adalah nadanya yang agak tinggi. Untuk tidak kedengaran terlalu menjerit, saya sesuaikan lontaran suara dengan nada yang lebih lembut dan manis serta kedengaran lebih santai.
"Dengan cara itu, saya berharap mereka yang mendengarnya dapat membayangkan hubungan yang sangat comel dan penuh kasih sayang, tidak kira sama ada sudah berkahwin, bujang atau bakal berkeluarga.
"Saya berharap agar semua orang bergembira dan bersama-sama menyanyikan lagu ini bersama orang yang tersayang," katanya.
Berbeza dengan single terdahulu Han Byul, single kali ini menampilkan genre pop yangt sangat manis untuk didengar dan boleh membuatkan pendengar dilamun cinta. Malah melodinya yang ‘catchy’ dan membuai rasa dengan gabungan lirik santai dan sesuai didengar semua golongan.
Jodoh mengisahkan tentang seseorang individu yang terserempak kembali dengan cinta pertamanya dan terus merasakan ikatan cinta itu masih kukuh. Dia berhasrat untuk meneruskan perhubungan dan menjadi pasangan hidup.
Menariknya lagu ini turut dipilih menjadi runut bunyi drama Helo Jodoh yang kini sedang bersiaran di slot Lestary, TV3, setiap Khamis hingga Sabtu, pukul 9 malam.
Menurut composer lagu tersebut, Omar K, idea menghasilkan lagu itu tercetus setelah dia menerima hantaran suara daripada Hazama yang menyanyikan beberapa rangkap sambil memetik gitar. Bermula daripada situ, Omar K bersama Hazama dan Firdaus Rahmat sepakat menjayakan lagu ini.
“Lagu ini sesuai dengan Han Byul dan keunikan yang ada padanya adalah bila dia melontarkan suara menggunakan nada suara tersendiri dalam apa jua genre lagu yang diberi.
"Lagu menjadi lebih lunak apabila dia menggunakan nada suara 'Korean Vibe' yang lembut seakan berbisik apabila menyanyikan lagu berbahasa melayu. Ini memberikan satu suntikkan baharu dalam sesebuah lagu khususnya lagu Jodoh.
"Kami berharap agar lagu ini mendapat ruang di hati setiap pendengar di Malaysia. Hayati mesej, pengisian dan intipati yang ingin disampaikan. Jodoh tidak semestinya dicari, kadang-kadang ia datang menyapa," jelasnya.
Mengulas tentang pengalaman menjalani rakaman bersama Han Byul, Omar K, mengakui senang bekerjasama dengan tinggi lampai itu yang sangat komited pada kerjaanya.
"Han Byul seorang yang sangat komited, profesional, berdedikasi dalam bekerja dan bersungguh untuk menghabiskan rakaman. Dia datang dalam keadaan bersedia dan tahu apa yang perlu dibuat.
"Malah dia juga seorang penyanyi yang setia mendengar dan sentiasa menerima teguran serta idea-idea daripada penerbit mahu pun komposer.
"Dalam erti kata lain, Han Byul juga gemar berkongsi, bertukar-tukar pendapat dan sangat mesra. Keselesaan ini membuatkan kami senang bekerjasama. Hanya kurang dari dua jam, dia berjaya menghabiskan rakaman penuh lagu ini,” katanya.
Lagu Jodoh kini boleh didengari di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Alternate Records & Talent - Terima Kasih Efendi Amir]
0 Comments