FILEM anime yang ditunggu ramai, Haikyu!!: The Dumpster Battle kini menemui penggemar naskhah itu di seluruh pawagam Malaysia mulai 16 Mei lalu.
Karya arahan Susumu Mitsunaka itu merupakan sebuah adaptasi daripada komik manga popular Jepun dengan judul sama, hasil tulisan Haruichi Furudate.
Bagi penggemar setia siri manga itu, pastinya amat teruja untuk melihat karakter-karakter yang diminati beraksi dalam edisi layar lebar yang tentunya menjanjikan keseronokan berganda.
Haikyu!!: The Dumpster Battle yang terlebih dahulu ditayangkan di Jepun pada 16 Februari lalu itu ternyata dihasilkan dengan baik oleh Susumu Mitsunaka yang menggunakan sepenuh kreativitinya untuk mengangkat naskhah ini.
Filem berdurasi 1 jam 25 minit itu mengisahkan tentang kemeriahan Kejohanan Bola Tampar Harutaka yang menyaksikan pertembungan sengit antara sekolah Karasuno dan Nekoma yang masing-masing membariskan pemain hebat dalam perlawanan tersebut.
Sebagaimana sirinya, Haikyu!!: The Dumpster Battle untuk versi layar lebar ini teryata berjaya menyajikan keseronokan buat penonton untuk mengikuti perjalanan cerita seawal filem bermula sehingga ke penghujungnya.
Paparan animasinya sangat mengagumkan, apatah lagi aksi-aksi ikonik yang berjaya ditonjolkan dengan begitu padu sehingga suasana dan kemeriahan perlawanan dapat dirasai penonton.
Banyak babak berjaya mencuri perhatian penonton kerana kelancaran dan ketelitian yang dipamerkan sehingga terasa seperti aksi sebenar. Kelajuan bola, teknik pukulan sehinggalah kepada ketegangan emosi pemain dipertonton dengan baik sekali.
Begitu juga dengan perkembangan barisan karakter utamanya yang diperlihat dengan kekuatan dan tarikan tersendiri. Malah terdapat beberapa momen yang begitu memberikan impak pada tontonan.
Secara keseluruhannya, Haikyu!!: The Dumpster Battle adalah sebuah naskhah yang sangat menghiburkan dan wajib tonton. Bukan hanya untuk penggemar anime, tetapi naskhah ini sesuai dan boleh dinikmati semua. - 7KLIK
0 Comments