Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Impak Jennie di Met Gala 2024, curi tumpuan lensa dan penampilan jadi bualan ramai


OLEH: Aileen Adam
ACARA fesyen tahunan yang menjadi tumpuan ramai, Met Gala berlangsung penuh gemilang di Muzium Seni Metropolitan, New York pada Isnin.

Barisan selebriti terkenal hadir dan berkumpul dengan memperagakan pelbagai fesyen rekaan karyawan ternama yang tampil kreatif dengan impak luar biasa.

Selain Zendaya, Ariana Grande, Jennifer Lopez, Kim Kadarshian, Gigi Hadid, Cardi B dan lain-lain, kehadiran idol K-Pop sensasi, Jennie Kim turut mencuri perhatian ramai.

Anggota kumpulan Blackpink itu tampil menyarung persalinan biru penuh pesona daripada Alaia, hasil rekaan Pieter Mulier seiring tema Sleeping Beauties: Reawakening Fashion dengan kod pakaian The Garden of Time. 

Jennie, 28, yang diundang untuk tahun kedua berturut-turut itu, ternyata tidak pernah gagal mempamerkan kehebatan fesyennya. Penampilan bintang yang kini sedang hangat mencipta nama di peringkat global itu mendapat sorotan dan pujian ramai, malah tersenarai sebagai antara 10 busana terbaik pilihan pelbagai majalah fesyen terkemuka pada acara tersebut.


Mengulas mengenai busana menawan tersebut, pemilik dan pengasas Odd Atelier itu berkata, gaun berkenaan diperbuat daripada fabrik sepanjang 13 meter dan mengambil masa selama 200 jam untuk disiapkan oleh tenaga kerja kreatif.

Gaya asymmetrical draped dress dengan tali pinggang rantai mutiara itu turut menonjolkan sosok langsingnya, sekali gus membuat penampilan Jennie kelihatan menyerlah serta elegan. Ia juga disesuaikan dengan gaya rambut kemas yang dirapikan sanggul gulung, beserta padanan anting-anting mutiara. Kejelitaannya cukup terserlah dalam gaya sederhana dan natural.

Tidak hanya itu, nama Jennie juga trending sepanjang acara berlangsung dan menjadi selebriti yang paling banyak namanya disebut di platform media sosial, mengatasi bintang-bintang lain termasuk Zendaya dan Ariana Grande. Begitu juga dengan video temubualnya di saluran YouTube majalah rasmi acara tersebut, Vogue, yang mendapat jumlah tontonan paling tinggi (setakat artikel ini ditulis).

Pengaruh pelantun lagu Solo dan You & Me itu dalam berfesyen bukan main-main dan tidak hairanlah dia mendapat jolokan Global IT Girl. - 7KLIK 


ARTIKEL LAIN: 

TONTON VIDEO PILIHAN

Post a Comment

0 Comments