Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Undur diri atas sebab peribadi, Syasya bukan lagi anggota Dolla


TIADA angin, tiada ribut peminat seni hiburan hiburan tanah air dikejutkan dengan pengunduran Syasya daripada kumpulan M-Pop popular, Dolla.

Berita tersebut diumumkan syarikat rakaman kumpulan terbabit, Universal Music Malaysia pada Isnin. Keputusan mengejutkan itu dibuat oleh Syasya atau nama sebenarnya, Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 24, atas sebab peribadi yang tidak dimaklumkan secara terperinci kepada umum.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, walaupun berasa berat hati menerima keputusan tersebut, pihaknya tetap menghormati pendiriannya dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat Syasya.

"Tiga lagi ahli kumpulan Dolla iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby akan meneruskan perjuangan seni buat peminat di dalam dan luar negara.

"Malah, tahun ini pihak Universal Music Malaysia telah membuat pelbagai perancangan untuk memastikan kumpulan ini menempah nama di persada muzik Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.

Dari kiri: Angel, Syasya, Sabronzo dan Tabby


Sementara itu, Tabby, Sabronzo dan Angel biarpun sedih, tetap menghormati keputusan Syasya dan memberikan sokongan penuh buatnya.

"Kami sedar ketiadaan Syasya baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan anda semua.

"Dengan hati yang berat, kami ingin mengumumkan yang Syasya telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sebagai ahli Dolla atas sebab peribadi.

"Hubungan kami berempat sangat erat dan kami masih menganggap Syasya sebagai adik kami. Kami akan terus memberikan sokongan terhadapnya," ujar Dolla dalam kenyataan.

Meskipun kini tinggal bertiga, Dolla yang ditubuhkan pada 2019 itu akan meneruskan perjuangan mereka dalam industri seni.

"Kami tetap akan memberikan komitmen penuh untuk teruskan perjalanan Dolla dan terus berusaha untuk berikan yang terbaik buat peminat dan rakan media yang telah menyokong Dolla selama ini.

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan penghargaan kami terhadap sokongan anda semua sepanjang kerjaya Dolla setakat ini serta kata-kata semangat untuk kami kekal berjuang.

"Kami berharap akan tetap melangkah jauh di perjalanan kami bersama," ungkap Dolla.



Dolla mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan single pertama, Dolla Make You Wanna yang dilancarkan pada 20 Mac 2020 dan sehingga kini telahpun tampil dengan enam single solo, sebelum melancarkan album penuh mereka berjudul New Classic pada November 2023.

Lebih menarik, penampilan Dolla yang terpilih mewakili Malaysia dalam satu program realiti baharu di China, Show It All yang menampilkan Lay Zhang, ahli kumpulan EXO sebagai penerbit eksekutif mencuri perhatian ramai. Malah nama Dolla juga menjadi sebutan peminat negara itu yang kagum dengan bakat dan kebolehan mereka. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments