AKHIRNYA segala tanda tanya dan spekulasi berhubung pengunduran Syasya Rizal daripada kumpulan Dolla terjawab dengan berita pernikahannya pada Ahad.
Khabar pernikahan Syasya atau nama penuhnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, itu turut disahkan oleh syarikat rakamannya ketika masih bersama Dolla, Universal Music Malaysia.
Dalam satu kenyataan kepada pihak media, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata, perancangan mendirikan rumah tangga itu merupakan antara faktor pengunduran Syasya daripada Dolla.
"Terlebih dahulu terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan media, peminat dan sesiapa saja yang sudah menyokong kerjaya Dolla dari awal sehingga kini.
"Tidak dinafikan pengunduran Syasya daripada Dolla mengejutkan ramai. Namun, kami perlu akur dengan keputusan yang dibuat empunya diri yang disifatkan terlalu peribadi.
"Kali ini kami ingin berkongsi berita gembira bahawa Syasya telah selamat mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya pada hari ini. Ini juga adalah antara faktor utama Syasya memilih untuk tidak lagi bersama Dolla," katanya yang berharap berita tersebut akan menamatkan spekulasi mengenai pengunduran Syasya sebelum ini.
Difahamkan majlis pernikahan Syasya dengan lelaki pilihannya itu diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun, butiran terperinci majlis itu termasuk identiti suami bintang berusia 23 tahun yang kini sudah bertudung itu tidak didedahkan.
Pada 8 Mac lalu, Dolla mengumumkan berita mengejutkan tentang pengunduran Syasya daripada kumpulan itu menerusi satu hantaran di akaun rasmi mereka. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: shakilla-khoriri-kembali-bergelar-isteri
ARTIKEL LAIN: pilih-ahli-perniagaan-atikah-suhaime
ARTIKEL LAIN: youtuber-popular-alana-kini-bergelar
0 Comments