Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Mereka benar-benar percaya dengan kebolehan saya" - Kee teruja kongsikan Take Me Back



MASIH lagi hijau dalam industri seni tanah air, semangat penyanyi baharu, Kee, sentiasa berkobar-kobar untuk berkongsi bakat dan karyanya kepada umum.

Baru sahaja muncul dengan single berjudul Take Me Back, bintang yang mempunyai impian besar sebagai anak seni itu teruja untuk melihat respons peminat.   

Menurut Kee, lagu hasil ciptaan Omar K dan lirik oleh Dari itu  merangkumi intipati nostalgia dan kenangan yang mendalam. Ia merakam saat-saat manis dan indah yang dikongsi bersama seseorang.

“Lagu ini mengisahkan tentang detik-detik manis anda bersama seseorang yang istimewa. Setiap kali saya mendengar lagu ini, ia selalu membawa saya kembali ke zaman di mana emosinya sama seperti projek lagu ini,” ujarnya.

Berkongsi proses pembikinan lagu tersebut, Kee yang menjalani latihan vokal selama dua bulan itu berkata, hasilnya seperti yang dijangkakan.

Malah Take Me Back bukan sahaja mempamerkan lirik tulus hati tetapi juga peningkatan luar biasa dengan kebolehannya dalam nyanyian.

Apatah lagi, komitmen terhadap kecemerlangan vokal terserlah, menjadikan penyampaian lagu sebagai bukti dedikasi dan semangatnya untuk ekspresi muzik.

“Saya telah meluangkan banyak masa dalam memastikan semuanya berjalan lancar sehingga rakaman.

"Untuk lagu ini, saya terpaksa mengambil latihan vokal untuk hampir dua bulan bagi meningkatkan kemahiran vokal saya dan secara keseluruhannya, saya begitu gembira dengan hasilnya,” katanya.

Tambah Kee lagi, walaupun lagu itu memberikan cabaran besar kerana julat vokal asalnya berada di luar zon selesa, dengan dorongan dan kepercayaan orang-orang rapat di sekelilingnya terutamanya wakil syarikat rakaman, dia memulakan perjalanan transformasi melalui kelas vokal.

"Sokongan yang diterima untuk menonjolkan suara saya dalam nadi lagu ini adalah penting, dan saya amat berterima kasih atas usaha serta kerjasama yang membuahkan hasil.

“Pada mulanya, lagu ini amat sukar untuk saya nyanyikan kerana ia tidak berada dalam lingkungan saya sehinggalah mereka meyakinkan saya untuk pergi ke kelas vokal untuk meningkatkan lagi kemahiran nyanyian saya.

"Mereka benar-benar percaya dengan kebolehan saya untuk mengalunkan dalam lagu ini. Saya rasa amat bersyukur,” akuinya syukur.



Dalam pada itu, penyanyi ini juga mengharapkan agar penggemar muzik tanah air dapat melihat bakat sebenar dirinya menerusi karya yang dibawakan.

"Saya amat teruja sekali dengan pelancaran lagu ini. Untuk single ini, saya tidak ‘rap’ tetapi hanya menyanyi. 

"Jadi ini merupakan sesuatu yang baharu dari saya untuk anda semua dan ia adalah lagu yang sangat indah," katanya.

Menganggap Take Me Back sebuah karya istimewa, Kee dapat merasai sinergi dalam karya itu, selain kedalaman emosi lagu tersebut.

"Omar K dan Dari memang sangat hebat. Take Me Back ini dengan serta-merta menarik perhatian saya untuk menghayati kedalaman emosinya dan menjadikan ia sebahagian daripada perjalanan muzik saya. 

"Sebaik sahaja mereka kongsikan lagu ini, saya serta-merta memutuskan bahawa saya mahu lagu ini.

"Saya berharap lagu ini benar-benar bergema dan memikat hati semua orang," katanya.

Take Me Back kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.  - 7KLIK 


ARTIKEL LAIN: versi-gelap-cinta-yang-paling-sempurna
ARTIKEL LAIN: lagi-lagu-raya-baharu-meriahkan
ARTIKEL LAIN: sujud-aidilfitri-cukup-bermakna-buat

Post a Comment

0 Comments