Lantaran itu, Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, tidak pernah sesekali mengeluh, meskipun terpaksa mengambil masa yang lama sebelum tampil dengan karya baharu kerana percaya, penantian panjang itu bukan sesuatu yang sia-sia.
Setelah kali terakhir muncul dengan single Tanpa Rela, hampir empat tahun lalu, penyanyi berusia 42 tahun itu hadir mengubat rindu pada peminat yang mendambakan buah tangan terbaharunya dengan penghasilan lagu Masihkah Ada Rasa Itu?
Mula diperdengarkan kepada umum di semua platform muzik bermula 1 Mac lalu, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul selaku pencipta lagu, manakala lirik pula oleh Que Afq.
Mengulas tentang single baharu itu, Misha berkata, kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.
"Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.
"Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?," ujarnya.
Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafnaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.
Malah penyanyi itu menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu? yang diterbitkan Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records itu menjadi karya lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding lagu terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.
Cabaran baharu
Bagaimanapun, akui Misha, lagu itu tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan karya tersebut.
"Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.
Sedar ramai peminat mengharapkan kolaborasi terbaharu bersama Sharon itu dapat mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar mereka berdua menerusi lagu Sampai Bila yang turut memenangi tempat ketiga dan mengungguli Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-33 (2018), Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.
"Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.
OST drama
Berterima kasih kepada komposer terbabit dan Syafinaz yang banyak memberinya kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian single baharu itu, Misha mengakui, berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman.
Malah ibu kepada dua anak itu sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.
"Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.
"Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri," ujarnya yang cukup dikenali dengan sikap rendah diri.
Dalam pada itu, Masihkah Ada Rasa Itu? bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan menghiasi slot Akasia di TV3 yang akan disiarkan sepanjang Ramadan nanti.
Single tersebut kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: takdir-itu-milik-aku-liza-hanim-sekali
ARTIKEL LAIN: bunkface-bawa-emosi-tulen-lirik
ARTIKEL LAIN: lama-menyepi-madam-mahu-peminat-kembali
[FOTO: Sony Music Entertainment Malaysia]
0 Comments