Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] YOLO, sebuah karya komedi dramatik


TIDAK banyak yang selalunya diharapkan daripada sebuah naskhah komedi, melainkan cerita yang santai dan mengajak penonton bergelak ketawa menghiburkan diri.

Namun bukan semua filem genre komedi yang berpaksikan hal itu semata-mata, sebaliknya hadir dengan misi lebih besar untuk membawakan sesuatu yang berimpak buat penonton dengan gaya tersendiri.

YOLO adalah antara filem itu. Sebuah naskhah luar biasa daripada produksi China yang ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh wanita hebat bernama Jia Ling.

Filem yang diadaptasi daripada filem Jepun, Yen Love yang diterbitkan pada 2014 itu mengisahkan tentang penganggur, Du Leying, lakonan Jia Ling yang masih tinggal di rumah orang tuanya. Sikap Leying yang hanya makan dan tidur sepanjang hari tanpa berbuat apa-apa dengan berat badan yang berlebihan itu telah menyebabkan timbul rasa kurang senang kakaknya, Ledan (Zhang Xiaofei) sehingga menyebabkan mereka sering bertengkar.

Situasi memburuk apabila Ledan semakin keras menekan Leying sehingga berlaku pergaduhan besar membuatkan dia mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah dan menyewa sendiri. Leying terpaksa mencari kerja untuk menyara dirinya sendiri walaupun sukar. Dia kemudiannya bertemu denganjurulatih tinju, Hao Kun (Lei Jiayin) di gym bersebelahan restoran tempatnya bekerja dan mula jatuh cinta.

Bermula konflik baharu dalam hidup Leying apabila berlaku pelbagai salah faham dan salah tafsir sehingga sekali lagi menyebabkan dia rasa kecewa dengan hidupnya, sebalum bangkit membuktikan sesuatu.

Pada separuh perjalanan ceritanya, kita akan dipertonton tentang betapa teruknya kehidupan Leying yang seolah-olah tidak hala tuju, tiada motivasi untuk berubah atau menjadi lebih baik  untuk dirinya sendiri.

Lebih menyedihkan dia membuka ruang kepada orang sekelilingnya untuk mengambil kesempatan terhadap dirinya dengan sikap polosnya.


Namun perjalanan cerita mula menjadi menarik apabila, wanita itu mula menghargai dirinya dan membina motivasi untuk berubah apabila dia jatuh terduduk diperlakukan orang sekelilingnya.

Di sinilah bermulanya keindahan naskhah ini yang memperlihatkan bagaimana seseorang itu mampu berubah hanya dengan keinginannya sendiri. Semangat yang ditiup dariapda siri kekecewaan terhadap sesuatu itu ternyata memberi motivasi yang luar biasa.

Daripada babak-babak yang yeng mengundang tawa, Leying menarik penonton masuk ke dunianya yang kini fokus mengubah diri, mengubah persepsi manusia lain terhadap dirinya bukan hanya pada fizikal tetapi juga pada semangat juangnya.

Jia Ling selaku pengarah dan teraju utama berjaya meyakinkan penonton untuk mempercayai kesungguhan Leying. Proses dan usahanya mengurangkan berat badan daripada 120kg sehingga ke 50kg yang turut melayakkan dirinya menyertai pertandingan tinju itu sangat realistik dan bukan dengan cara mudah.

Tidak hanya pada perubahan fizikal, tetapi perjalanan emosi Leying itu juga bergerak dengan cukup sempurna. Dia mampu membuat penonton ketawa, marah dan menangis dalam masa yang sama.

Penulis paling menyukai babak di mana Leying sedang berjalan untuk masuk ke gelanggang pertarungan tinju dan dalam masa dia melihat pada cermin kelibat dirinya ketika masih dalam versi lama, seorang yang pemalu dan berbadan besar.

Biarpun hanya untuk beberapa saat, tetapi interaksi antara kedua-duanya dalam fizikal berbeza itu sangat berimpak dan meninggalkan kesan mendalam pada tontonan.


Kenyataannya, Jia Ling berjaya memainkan peranannya dengan cukup cemerlang, baik sebagai pengarah mahupun pelakon.

YOLO membawakan banyak mesej penting tentang motivasi, perjuangan hidup, pengkhianatan dan banyak lagi hal yang berkait dalam kehidupan kita sehari-hari. Misalnya bagaimana Leying yang sering dikhianati orang-orang terdekatnya, biarpun kebiasaannya kita selalu menjangkakkan itu daripada orang luar.

Hal-hal kecil, tetapi disampaikan dengan cukup berkesan dalam filem ini menjadikan emosi penonton turut terbawa-terbawa dengan apa yang dilalui Leying dan cara bagaimana dia bangkit mencari kembali dirinya.

Yolo bukan hanya tentang transformasi fizikal, tetapi juga emosi dan motivasi diri untuk menjadi versi lebih baik untuk diri sendiri.

Fakta menarik filem ini mendapat sambutan luar biasa pada tayangan sempena perayaan Tahun Baru Cina dengan 1.6 bilion yuan di box office untuk empat hari pertama tayangannya di China.

Malah menurut laporan China Movie Data Information Network, Yolo kini mengekalkan kedudukannya pada bahagian atas carta box office harian China dan mempamerkan kejayaan luar biasa dengan menjana pendapatan harian sebanyak 349.96 juta yuan (US$49.26 juta).

Jangan lepaskan peluang menonton filem hebat ini di pawagam berdekatan anda. Sebuah naskhah wajib tonton!!! - 7KLIK

ARTIKEL LAIN: kehambaran-madame-web

YOLO
Bahasa: Mandarin
Klasifikasi: P13
Genre: Komedi
Durasi: 2 jam 9 minit
Pengarah: Jia Ling 
Pelakon: Lei Jia Ling, Lei Jiayin, Andy Yang, Sha Yi
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 21 Mac 2024
Bintang: 8/10 Bintang

Post a Comment

0 Comments