PROGRAM travelog santai, Ronda-Ronda Ramadan berkonsepkan 'food-hunting' untuk mencari juadah berbuka puasa dan tempat makan popular dan viral di sekitar tanah air kembali bersiaran Ramadan ini.
Menampilkan gandingan pelakon Zulin Aziz dan Nadhir Nordin sebagai hos, program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM untuk musim ketiga ini kembali memulakan kembara mencari makanan dan resepi viral pada bulan Ramadan.
Bersiaran mulai 15 Mac lalu, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 2.30 petang di TV2, edisi kali ini menzahirkan kepada khalayak sasaran juadah Ramadan yang menarik dan unik mengikut konsep serta tema restoran-restoran lokal di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Penonton diajak menelusuri warna-warni tradisi dan aroma tempatan melalui empat segmen terbaharu tahun ini.
Bermula dengan segmen Jom Singgah, penonton diajak singgah ke kafe atau restoran-restoran menarik di sekitar bandar yang dipilih. Diikuti Biz Selebriti, segmen menjenguk dapur selebriti sambil bertanya khabar kerjaya dan perniagaan terkini yang diusahakan mereka.
Antara selebriti undangan temasuklah Mawi, Lana Nordin, Mila Jirin, Datuk Fazley, Zizi Kirana, dan Linda Onn. Turut berkongsi resipi mereka pempengaruh media sosial Haze, Syamimia, Aleeya Zailan, dan ramai lagi.
Menarik dalam segmen Fit Ramadan pula mengundang Dr. Malar dan Liana Shaza, pakar nutrisi, diet dan pemakanan untuk berkongsi tips serta info kesihatan terkini. Sementara segmen Kelentang Kelentung akan memasak menu daripada restoran terpilih sambil melakukan aktiviti-aktiviti menarik di situ.
Program ini juga boleh diikuti menerusi penstriman langsung secara percuma di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my ). - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: nabila-huda-masak-sana-sini-new-york
ARTIKEL LAIN: astro-angkat-tema-masa-anugerah
ARTIKEL LAIN: marvel-animations-x-men-97-to-stream-on
[FOTO: RTM - Terima kasih Nurul Fariza]
0 Comments