Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Exhuma hadirkan keterujaan berbeza, filem seram wajib tonton!


LAMBAKAN filem seram di pawagam ketika ini membuatkan ramai penonton lebih bersikap selektif dalam memilih hanya naskhah terbaik daripada genre itu untuk ditonton.

Pun begitu kehadiran naskhah seram daripada produksi Korea Selatan, Exhuma memberi keterujaan berbeza apabila menawarkan premis menarik, unik dan segar untuk tontonan.

Ceritanya berkisarkan empat karakter utamanya iaitu Hwarim lakonan Kim Go-eun, Kim Sang Deok (Choi Min-sik), Bong Gil (Lee Do-hyun) dan Ko Young-geun (Yoo Hae-jin) bergabung tenaga dan kepakaran menyelesaikan satu kejadian misteri yang akhirnya membongkar segala satu rahsia, sekali gus meletakkan mereka dalam petaka.

Hwarim dan Bong Gil merupakan dukun muda yang mempunyai kemampuan supernatural, diminta untuk mengubati gangguan misteri yang dialami seorang bayi daripada sebuah keluarga kaya-raya di Korea.

Mereka kemudiannya bekerjasama dengan dua lagi rakan iaitu Sang Deok yang merupakan pakar fengsui dan Young-eun, penggali kubur untuk menyelesaikan tugasan yang menjanjikan pulangan lumayan itu.

Bagaimanapun, misi untuk mengalihkan sebuah kubur lama yang diminta itu ternyata mengundang padah apabila ia sebenarnya berpuaka dan dihuni roh jahat.

Meski penceritaannya berat, tetapi isi ceritanya mudah difahami, malah disampaikan dengan cukup berani dan tersusun. Jang Jae-Hyun selaku pengarah sangat kreatif dan bijak dengan setiap apa yang ditampilkan dalam naskhah tersebut.

Segalanya berkaitan, memberi petunjuk, malah berperanan baik membantu penceritaan menjadi begitu menarik dan berjaya membawa penonton masuk ke dalam perjalanaan karakter-karakter terlibat.


Menariknya, filem ini tidak hanya memfokuskan kepada elemen seram semata-mata. Malah boleh dikatakan tidak banyak babak menyeramkan, mahupun 'jumpscare' yang diumpan untuk menakut-nakutkan penonton.

Sebaliknya, ia lebih kepada bentuk penyampaian yang begitu solid menerusi babak-babak ritual, kepercayaan mistik, budaya dan sejarah yang digabung-jalin dengan cukup hebat, sekali gus menghadirkan elemen suspens dan kejutan.

Sejak awal filem bermula, penonton sudah diajak untuk meneka-neka dan terlibat sama dalam kekacauan yang berlaku pada karakter-karakter utama filem ini.

Exhuma memberikan banyak benda baharu yang mengundang rasa ingin tahu dalam kalangan penonton. Terutamanya melibatkan sejarah lampau negara Korea dan Jepun yang mungkin tidak ramai tahu mengenainya.

Bukan sahaja peperangan fizikal, tetapi juga melibatkan kuasa supernatural untuk menghancurkan antara satu sama lain. Ia dapat dilihat menerusi babak kematian sang jeneral Jepun yang dikuburkan hidup-hidup dengan pasak besi yang disihir dengan energi jahat bagi tujuan memusnahkan generasi di tanah Korea.

Biarpun menyentuh sejarah tetapi ia disampaikan dengan gaya mudah tanpa terlalu memaksa penonton untuk menghadam fakta atau mesej yang dibawa.

Malah menerusi babak-babak tertentu, kita dapat melihat unsur patriotisme turut diselitkan, selain elemen-elemen lain yang ditampilkan dengan cukup sederhana, tetapi mampu 'trigger' penonton terhadap sesuatu.


Antara yang paling menarik perhatian penulis ialah babak di mana Hwarim mengadakan upacara ritual untuk menghalau roh jahat di sebuah kubur lama.

Nuansa keseraman itu dapat dirasai menerusi aksi dukun muda itu memindahkan roh jahat dengan ritual budaya menerusi paluan gendang, penyampaian mantra, gerak tari, kostum tradisional dan aksi unik yang benar-benar membuatkan penonton merinding.

Meskipun seorang dukun, Hwarim tidak hadir dengan perwatakan yang misteri atau menakutkan sebagaimana tipikal dukun lain. Sebaliknya, dia ditampilkan sebagai wanita moden, cantik, bijak dan berpesonaliti.

Dari segi lakonan, Kim Go-Eun yang mengisi watak sebagai Hwarim itu dengan sangat cemerlang dan penuh karisma, malah meyakinkan dari awal kemunculannya sehingga ke penghujung cerita.

Begitu juga gandingan Choi Min-Sik, Yoo Hae-Jin dan Lee Do-Hyun dilihat sebagai pilihan tepat untuk karakter masing-masing. Mereka mengisi peranan dengan begitu baik, sekali gus menyumbang kepada kelebihan dan kekuatan naskhah ini.

Secara keseluruhannya, Exhuma bukanlah sebuah filem yang mahu menakut-nakutkan penonton dengan elemen seram murahan, tetapi ia lebih daripada itu. Sebuah naskhah yang tampil dengan naratif memikat turut disokong kuat dengan pelbagai elemen menarik termasuk budaya unik masyarakat Korea.

Bagi penulis, Exhuma adalah naskhah seram yang jarang-jarang muncul dan wajib tonton untuk tahun ini. - 7KLIK  


Pilihan Top 5 Filem Seram Korea  

1. Train To Busan (2016)
2. The Wailing (2016)
3. The Host (2006)
4. Gonjiam: Haunted Asylum (2018)
5. The Call (2020)


ARTIKEL LAIN: misteri-kolam-renang-night-swim
ARTIKEL LAIN: kehambaran-madame-web
ARTIKEL LAIN: filem-terlaris-di-china-yolo-bakal

EXHUMA
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P16
Genre: Seram/thriller
Durasi: 2 jam 14 minit
Pengarah: Jang Jae-Hyun
Pelakon: Choi Min-Sik, Kim Go-Eun, Yoo Hae-Jin, Lee Do-Hyun
Edaran: ATriNaga Sdn Bhd
Tarikh Tayangan: 14 Februari 2024
Bintang: 8.5/10 Bintang

Post a Comment

0 Comments